Bintang Liverpool, Mohamed Salah telah memberikan nasihat berguna kepada prospek masa depan, Rio Ngumoha selepas pemain remaja itu menjaringkan gol kemenangan Liverpool ke atas Newcastle United.
Ngumoha menjadi tajuk utama apabila masuk sebagai pemain gantian dan menjaringkan gol kemenangan dramatik pada masa kecederaan untuk menghadiahkan kemenangan 3-2 buat juara bertahan itu.
Baca Juga:
- Ini Sebab Mohamed Salah Anggap Arsenal Calon Utama Juara EPL 2025/26

- Mohamed Salah Perbaharui Kontrak, Terus Setia Bersama Liverpool

- Sam Allardyce Dedah Sebab Mohamed Salah Takkan Menang Ballon d’Or 2025

Pemain berusia 16 tahun tersebut menjadi penjaring keempat termuda dalam sejarah English Premier League (EPL).
Ngumoha mengakui dia berasa ‘teruja’ selepas membuka akaun jaringannya bersama The Reds dan menjadi penjaring termuda dalam sejarah kelab.
Sehubungan dengan itu, Ngumoha sudah pun menerima beberapa nasihat berharga daripada rakan sepasukan, Salah.

Nasihat Mohamed Salah Buat Ngumoha
“Dia masih sangat muda. Saya beritahu dia selepas perlawanan: ‘Jangan sibuk dengan media sosial,” ujar Mohamed Salah menurut sumber laporan Goal.
“Ok, tak mengapa kalau kamu nak gembira dengan jaringan itu bersama keluarga dan rakan-rakan. Nikmati momen itu sepenuhnya kerana inilah detik-detik awal dalam bola sepak.”
“Tapi jangan terlalu terlibat dengan penghargaan daripada dunia luar kerana semuanya akan kelihatan palsu. Kalau terlalu bergantung pada itu, dia akan sentiasa mencari perasaan dihargai daripada luar, dan itu bukan sesuatu yang baik.”
“Jadi, masa depan apa yang menantinya? Ia bergantung pada bagaimana dia menguruskan situasi ini. Dia perlu bekerja keras dan kekal merendah diri kerana dia masih terlalu muda.”
“Saya beritahu dia bahawa ada pemain yang memuncak terlalu awal dan selepas itu mereka mula bergelut. Saya betul-betul doakan yang terbaik untuknya.”
“Dia bernasib baik kerana berada dalam sebuah pasukan yang baik, kami sentiasa cuba bercakap dengannya.”
“Malah, pengurus (Arne Slot) juga memberi nasihat kepadanya. Dia cuma perlu kekal rendah diri, terus bekerja, dan lihat bagaimana perjalanan kariernya berkembang,” tambah beliau lagi.