Malaysia berjaya meraih kemenangan 2-1 ke atas Singapura pada Perlawanan Persahabatan Tier 1 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Berdepan lawan yang berada di ranking ke-159 dunia itu, Peter Cklamovski menyandarkan harapan kepada Arif Aiman Mohd Hanapi, Joao Vitor Figueiredo untuk mendapatkan jaringan.
Kehilangan Hector Hevel mungkin merencatkan sedikit kreativiti di bahagian tengah, namun trio tersebut masih berjaya menghasilkan kombinasi baik untuk mengasak benteng pertahanan Singapura terutamanya pada babak pertama.

Malaysia Bermula Baik
Arif Aiman terlebih dahulu menguji gawang lawan yang dikawal Mohamad Izwan Mahbud seawal minit kelima, namun penjaga gol berpengalaman itu menepis keluar percubaan leret dalam kawasan penalti tersebut.
Empat minit kemudian, Izwan gagal menangkap dengan kemas percubaan dari luar kawasan penalti oleh Figueiredo tetapi pertahanan Singapura lebih pantas menyepak keluar bagi menyelamatkan keadaan.
Minit ke-18 pula menyaksikan gerakan baik dalam kawasan penalti dicipta Endrick dan Stuart Wilkin, bagaimanapun percubaan Nazmi Faiz Mansor sekadar melewati palang.
Kem negara melonjak kegembiraan pada minit ke-26 apabila umpanan cantik Endrick menerusi satu hantaran lambung disudahkan dengan cukup baik Stuart Wilkin yang melakukan percubaan padu dari jarak dekat untuk meletakkan Malaysia dihadapan.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Singapura pantas menghadirkan ancaman ke kubu Malaysia menerusi percubaan luar kawasan penalti oleh Song Uiyong pada minit ke-29.
Namun penjaga gol negara, Muhammad Haziq Nadzli lebih bersedia untuk menafikan percubaan pemain berusia 31 tahun itu.
Berselang dua minit kemudian, Haziq juga tidak berdepan masalah menangkap kemas percubaan leret dari jarak jauh dilepaskan Ryhan Stewart.

Figueiredo menjadikan kedudukan 2-0 selepas beliau mudah menolak masuk bola selepas menerima hantaran lintang berkualiti dari Wilkin pada minit ke-55.
Kemasukan Ilhan Fandi Ahmad yang menggantikan abangnya, Ikhsan menghadirkan impak pantas selepas rembatan padu diledakannya dari jarak jauh berjaya menewaskan Haziq Nadzli untuk Singapura merapatkan defisit gol pada minit ke-72.
Kedudukan 2-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk Malaysia muncul pemenang pada ‘Derbi Seberang Tambak’ kali ini.