Selain Thailand, Malaysia kini sudah menjadi salah satu pilihan utama negara yang gemar dikunjungi oleh pelancong luar. Jadi, tidak hairanlah melihat sejumlah pelancong datang ke mari dan berkongsi pengalaman mereka sepanjang di sini.

Baru-baru ini, seorang pemuda dari Kenya yang datang melancong secara solo ke Malaysia dan berkongsi apa yang dirasakan sewaktu melancong ke negara kita.

Secara keseluruhannya, dia menyimpulkan pengalaman melancong ke Malaysia sememangnya menyeronokkan dan mempunyai pelbagai tempat menarik yang boleh diterokai.

pelancong
Sumber Gambar: TikTok

Selain mendapati kos perbelanjaan yang mampu milik, dia juga menikmati saat eksplorasi di sini yang mudah untuk dinavigasi walaupun bergerak secara solo buat pertama kalinya di sini.

Pelancong Pelik Mengapa Rakyat Malaysia Suka Pandang Mereka? Ini Respon Warga Tempatan
Sumber Gambar: TikTok

Dari segi cuaca, dia merasakan di Malaysia jauh lebih panas jika nak dibandingkan dengan negara asalnya yang kebiasannya di sebahagian wilayah sekitar 20°C sehingga 28°C.

Bercakap mengenai interaksi, semuanya baik sahaja namun dia merasa pelik mengapa orang ramai melihatnya dan timbul persepsi adakah sebab dia berkulit hitam lalu mempunyai stereotaip atau rasisme tertentu seperti yang dialami di negara lain.

Pelancong Pelik Mengapa Rakyat Malaysia Suka Pandang Mereka? Ini Respon Warga Tempatan
Sumber Gambar: TikTok

Kemudian, di ruangan komen rupanya ada juga pelancong lain yang mengalaminya dan membangkitkan perkara ini dan merasa pelik dengan tindakan sedemikian oleh warga tempatan.

Risaukan tanggapan negatif menular di kalangan pelancong, netizen tempatan langsung berkongsi sebab mengapa sebahagian daripada mereka sering melihat seseorang pelancong dengan pandangan ‘tertentu’.

Seorang netizen mendakwa kadang-kadang warga tempatan melihat pelancong asing adalah kerana timbul rasa ingin tahu akan tempat asal mereka tetapi malu untuk bertanya.

“Ya, betul tu. Orang ramai memang akan pandang. Kadang-kadang saya pun pandang orang asing sebab saya ingin tahu mereka dari mana, tapi segan atau takut nak bertanya.”

“Memang betul, ramai penduduk tempatan akan memandang orang asing kerana ingin tahu, tiada niat lain.”

Seorang lagi meminta mereka untuk membuang tanggapan negatif jika dipandang oleh warga tempatan kerana berpendapat sebahagian individu hanya teruja melihat dan terfikir mereka mungkin artis dan seumpamanya.

“Jangan fikir kami pandang anda kerana warna kulit. Tidak, bukan begitu. Kulit kami pun serupa dengan anda. Kebanyakan daripada kami tidak menilai orang berdasarkan warna kulit mereka.

“Mungkin ada yang memandang kerana teruja melihat orang asing, atau mereka sangka anda adalah pempengaruh atau YouTuber dari negara lain yang datang melawat Malaysia.”

Ada yang percaya mungkin mereka tampak tampan atau cantik langsung menarik perhatian warga tempatan menatap penampilan mereka.

“Pandangan itu bukan sebab warna kulit anda. Kami memandang kerana kami ingin tahu anda datang dari mana, dan kadang-kadang kami akan teka-teki sesama kami untuk meneka dari negara mana anda berasal.

“Dan yang kedua, kami pandang sebab anda kacak/cantik. Jadi, terpulanglah pada anda untuk membuat pilihan.”

Perkara ini terbukti kerana seorang wanita yang juga pelancong ke sini mendakwa ada warga tempatan yang mahu mengambil gambar bersamanya dan ramai percaya mungkin kerana dia benar-benar cantik sehingga menarik perhatian lokal.

Di samping itu, lelaki itu menambah ada saat di mana yang dia hanya mahu bertanyakan lokasi untuk mendapatkan susu strawberi tetapi langsung dibawa untuk mencari bersama sekaligus membuat dia terharu dengan hospitaliti warga tempatan.

Hantaran itu malahan telah menarik netizen dari negara asalnya untuk datang melancong ke sini melihat ulasan positif sepanjang percutiannya di sini.