Fenomena wanita tempatan dipergunakan sebagai proksi oleh warga asing untuk menjalankan perniagaan di Malaysia adalah isu yang kian meruncing.
Memetik laporan Harian Metro, seorang wanita tempatan meluahkan rasa kekesalan dengan menceritakan pengalamannya sendiri menjadi alat warga asing dalam melebarkan empayar bisnes mereka.

“Saya menyesal selepas terbuai dengan ayat manis lelaki Pakistan yang rupa-rupanya ada niat lain mahu mempergunakan saya untuk membesarkan empayar perniagaan di sini,” kata Adilah (bukan nama sebenar) yang berusia lingkungan 40-an.
Adilah, seorang wanita tempatan, menceritakan pengalamannya dipergunakan oleh bekas suaminya yang merupakan seorang warga asing.
Lelaki itu memujuk Adilah untuk menggunakan namanya bagi mendapatkan lesen perniagaan dan mendaftarkannya dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Perkara ini berlaku beberapa tahun lalu.
Sebelum itu, Adilah sudah berkahwin dengan seorang lelaki tempatan yang kemudiannya mengalami masalah kesihatan. Sewaktu itu, dia memiliki sebuah kedai makan.
Di sana, Adilah berkenalan dengan bekas suami keduanya, seorang warga asing berusia 40-an yang memiliki kedai perabot berdekatan. Lelaki itu sering berkunjung ke kedai makan warga asing yang terletak bersebelahan premisnya.
“Perkenalan itu membawa perasaan suka dan saya kemudian menuntut fasakh sebelum berkahwin dengan lelaki warga asing itu yang mendakwa masih bujang.
“Pada awalnya kehidupan kami baik saja dan bekas suami kedua memang tak pernah bercakap mengenai hal perniagaannya.
“Tetapi tidak lama selepas itu dia mula berubah menjadi terlalu cemburu hingga saya tak boleh pergi ke mana-mana seorang diri dan dia juga memujuk saya membuat lesen perniagaan dan pendaftaran SSM untuk membesarkan empayar perniagaannya di sini,” katanya.
Ekoran terlalu menyayangi lelaki warga asing itu, bersetuju untuk mengikut kemahuannya. Perniagaan yang didaftarkan atas namanya berkembang pesat dan menjana keuntungan besar. Namun, penipuan lelaki itu akhirnya terbongkar apabila Adilah mengetahui bahawa lelaki itu sudah mempunyai isteri di negara asalnya.
Lebih memeranjatkan, Adilah mendapati bekas suaminya itu juga mempunyai isteri ketiga, seorang lagi warga asing. Penemuan ini menyebabkan Adilah berasa dirinya telah dipermainkan dan dipergunakan demi kepentingan dan kesenangan orang lain.
“Dia rupanya memang sudah ada isteri di negara asal dan dia kahwin seorang lagi wanita asing selepas berkahwin dengan saya. Saya beri dia guna lesen perniagaan atas nama saya, besarkan lagi perniagaan perabot dia dan dapat untung besar tetapi dia tipu saya.
“Saya berasa menyesal dan terasa dipergunakan. Saya menuntut cerai kerana memang sudah tidak tahan dengan sikap cemburu buta dia selain beberapa isu lain namun dia memujuk kerana bimbang saya ambil semula lesen itu,” katanya yang menetap di Lembah Klang.
Adilah kini menyesal kerana selepas berpisah, bekas suaminya masih lagi menggunakan lesen perniagaan yang didaftarkan atas namanya. Lelaki itu membayar ‘sewa’ sebagai ganti, tetapi Adilah sedar perbuatannya itu salah kerana secara tidak langsung dia terus membiarkan warga asing memanipulasi undang-undang perniagaan tempatan.
“Saya tahu tindakan berkenaan salah dan mahu ambil tindakan pembatalan lesen itu supaya dia tidak terus mempergunakan nama saya. Bagi saya perkahwinan dengan warga asing ini perlu lebih berhati-hati supaya apa yang dilalui tidak berlaku lagi,” katanya.