Pengarah Sukan Paris Saint-Germain (PSG), Luis Campos, mendedahkan bahawa Neymar telah diberikan ayat perpisahan yang mengejutkan pada musim panas 2023 oleh ketua jurulatih, Luis Enrique.

Dengan kehadiran Enrique, PSG memulakan projek baharu di bawah kendalian jurulatih Sepanyol tersebut dengan memberikan tumpuan kepada penggunaan bakat muda berbanding berbelanja besar untuk pemain bintang.

Baca Juga:

Enrique telah dilantik sebagai pengurus baharu PSG pada 2023 dan hanya berselang sebulan kemudian, Neymar pula dijual kepada gergasi Liga Pro Saudi, Al-Hilal dengan nilai €90 juta.

Pemain Brazil itu memenangi lima kejuaraan Ligue 1 sepanjang enam tahun bersama kelab ibu kota Perancis tersebut, namun dengan kehadirannya bersama Kylian Mbappe dan Lionel Messi, PSG masih gagal menjuarai Liga Juara-Juara.

Sehubungan dengan itu,  Luis Enrique yang hadir dengan projek baharu buat PSG dilihat ‘amat mengalu-alukan’ pemergian Neymar ke Arab Saudi.

Neymar bukanlah asing buat Enrique kerana mereka berdua pernah bekerjasama sewaktu pengendali berusia 55 tahun itu membimbing Barcelona.

Ucapan Khas Luis Enrique Buat Neymar

“Luis Enrique adalah orang pertama yang memberitahu Neymar: ‘Baguslah kamu pergi’,” ujar Campos menurut sumber laporan Goal.

“Dia sampaikan terus berdepan dengannya (Neymar). Ini kerana Enrique melihat bola sepak dengan cara berbeza iaitu bermain secara berpasukan dan menurunkan sesiapa sahaja yang menunjukkan prestasi terbaik dalam latihan sepanjang minggu.”

Pendekatan yang diambil oleh Enrique itu turut disokong Campos dalam membina legasi baharu pasukan tersebut.

“Kami akan melindungi PSG. Kami sentiasa mahu bermain dengan baik dan memenangi perlawanan.”

“Dengan dasar ini, semua orang faham bahawa jurulatih tidak memberi keutamaan berdasarkan status atau latar belakang pemain. Bukan latar belakang anda yang menentukan anda jadi kesebelasan utama di PSG. Itulah dasar kami.”

“Hari ini kami bermain dengan lebih banyak corak terus (direct play). Kami perlukan ketinggian, pemain yang selesa mengawal bola. Kami perlukan lebih banyak solusi dan variasi.”

“Bintang sebenar adalah kelab ini, keseluruhan skuad. Itulah yang kami laksanakan dengan persetujuan pihak pengurusan.”

“Kami tidak menolak kemungkinan merekrut pemain bintang, tetapi terpulang kepada mereka untuk menyesuaikan diri dengan mesin PSG.”

“Kami membantu Luis Enrique untuk menerapkan falsafah ini,” tambah Campos lagi.

Sumber