Ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, Patrick Kluivert tanpa berselindung mendedahkan bahawa rakyat Indonesia perlu berbangga dengan barisan pemainnya walaupun impian mara ke Piala Dunia 2026 sudah lebur sepenuhnya.

Mara ke Pusingan Keempat Kelayakan Piala Dunia untuk bertembung dengan Arab Saudi dan Iraq, Indonesia terpaksa menelan kepahitan tewas pada kedua-dua aksi tersebut.

Baca Juga:

Kekalahan yang sekali gus memusnahkan harapan skuad Indonesia dimana dapat disaksikan sebahagian penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan kedua bertemu Iraq di King Abdullah Sports City, Jeddah tempoh hari bertindak membaling botol minuman ke padang tanda kekecewaan mereka.

Melihatkan kepada keadaan tersebut, Kluivert tidak mahu terlalu menghukum barisan pemainnya yang telah berjuang.

Patrick Kluivert Berbangga Dengan Pemainnya

“Masyarakat Indonesia seharusnya berbangga dengan para pemain mereka. Mereka telah bekerja keras untuk merealisasikan impian semua orang, bukan sekadar impian saya.”

“Bukan hanya impian para pemain, tetapi impian seluruh bangsa. Saya sangat kecewa, kerana kami semua  daripada staf perubatan dan kejurulatihan sehinggalah kepada para pemain  telah berusaha sedaya upaya untuk mencapai matlamat ini.”

“Segala keputusan yang kami capai sebenarnya baik dan saya rasa kami telah berkembang pesat sebagai satu pasukan, baik dari segi individu mahupun kolektif.”

“Namun, amat sukar untuk menerima kenyataan bahawa impian ke Piala Dunia kini lebur selepas segala usaha yang telah dicurahkan,” ujar Kluivert menurut sumber laporan Goal Indonesia.

Ketika ditanya mengenai masa depannya bersama skuad kebangsaan Indonesia, Kluivert berkata: “Belum ada perancangan yang jelas.”

“Pertama sekali, kami perlu menilai dengan tenang apa yang telah kami capai. Namun buat masa ini, saya belum mempunyai jawapan yang pasti tentang masa depan dan saya sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini.”