Hasrat Malaysia untuk meraih pingat emas dalam acara badminton berpasukan lelaki Sukan SEA 2025 tidak kesampaian apabila tewas 0-3 di tangan Indonesia pada aksi final yang berlangsung di Gimnasium 4 Thammasat University Campus Rangsit, Pathum Thani sebentar tadi.
Kekalahan yang memaksa penantian selama 20 tahun itu akan terus menghantui kem badminton Malaysia.
Kemarau Emas Acara Badminton Berpasukan Berterusan
Leong Jun Hao yang diletakkan sebagai perseorangan utama negara tidak mampu untuk menyaingi kehebatan Alwi Farhan terutamanya pada set pertama selepas tunduk 12-21, 19-21.
Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang diharapkan dapat menyumbangkan mata hanya mampu menjelmakan aksi longlai setelah tewas mudah 12-21, 12-21 kepada pasangan ranking kelapan dunia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reva Pahlevi Isfahani untuk mengukuhkan kedudukan buat Indonesia.
Tekanan cukup berat terpaksa digalas Justin Hoh pada perseorangan kedua yang menyaksikan beliau juga gagal untuk mempamerkan aksi bertenaga apabila tunduk 12-21, 14-21 kepada Moh Zaki Ubaidillah.
Kekalahan yang sekali gus menghadiahkan kemenangan mutlak 3-0 buat Indonesia untuk terus mendominasi acara berpasukan lelaki manakala Malaysia berpuas hati dengan pingat perak.
Kekalahan ini jelas memberi tamparan hebat kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atas keputusan menghantar skuad senior tetapi masih gagal mendapatkan pingat emas.
Tambahan pula badan induk badminton negara itu mensasarkan empat pingat emas pada temasya kali ini.
Perjalanan skuad negara dalam Sukan SEA 2025 akan diteruskan esok bagi acara individu dan diharapkan kekecewaan ini dapat segera dilupakan para pemain.