Pasukan Suriname kini berdepan dengan risiko disingkirkan daripada play off Piala Dunia 2026. Jika itu berlaku, ianya akan menjadi penamat paling kejam kepada kisah luar biasa negara itu mara sehingga ke play off.

Kenapa?

Ianya gara gara FA Suriname berdepan dengan saman daripada Firma Oldenstam & Kurban. Mahkamah sudah menerima tuntutan atau saman ke atas FA Suriname.

Oleh itu, FIFA sedang menilai kemungkinan untuk menggugurkan Surinam daripada saingan play-off antara benua Piala Dunia 2026 susulan masalah pentadbiran serius yang melanda persekutuan bola sepak negara itu.

Isu ini langsung tidak berkait dengan prestasi pasukan di atas padang, sebaliknya berpunca daripada konflik dalaman yang berpanjangan dalam Persekutuan Bola Sepak Surinam (SVB).

Krisis tersebut tercetus akibat pertikaian mengenai pemilihan kepimpinan SVB yang dibawa ke mahkamah tempatan.

Campur tangan badan kehakiman ini menyebabkan akaun bank persekutuan dibekukan, sekali gus menjejaskan operasi harian dan kebebasan pentadbiran badan induk bola sepak Surinam.

Situasi ini menimbulkan kebimbangan serius di pihak FIFA kerana ia bercanggah dengan prinsip autonomi persatuan bola sepak yang diwajibkan oleh badan induk dunia itu.

Jelas SVB ketika ini sedang dikuasai entiti luar yang sangat dominan dalam pentadbiran mereka sehinggakan mereka boleh didakwa di mahkamah.

FIFA mempunyai peraturan yang jelas dan tegas berkaitan larangan campur tangan pihak luar, termasuk kerajaan dan institusi kehakiman, dalam urusan dalaman persekutuan bola sepak.

Sekiranya FIFA mendapati Suriname gagal menyelesaikan krisis ini mengikut kehendak peraturan, SVB berisiko dikenakan penggantungan atau disingkirkan sepenuhnya daripada semua pertandingan antarabangsa, termasuk play-off Piala Dunia 2026.

Sekiranya Suriname benar-benar digugurkan, slot mereka dalam play-off antara benua akan diberikan kepada negara lain berdasarkan keputusan FIFA dan CONCACAF.

Beberapa laporan media antarabangsa menyebut Honduras sebagai antara calon yang berpotensi menggantikan Suriname, namun sehingga kini masih belum ada sebarang pengesahan rasmi daripada pihak berkaitan.

Play-off antara benua Piala Dunia 2026 dijadualkan berlangsung pada Mac 2026 dan akan melibatkan beberapa pasukan dari konfederasi berbeza untuk merebut dua tiket terakhir ke kejohanan yang akan dianjurkan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Buat masa ini, nasib Surinam untuk meneruskan impian ke Piala Dunia bergantung sepenuhnya kepada kemampuan mereka menyelesaikan kemelut pentadbiran dalaman sebelum keputusan muktamad FIFA diumumkan.