Pemerhati sukan, Datuk Dr Pekan Ramli memberi amaran bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berpotensi berdepan hukuman daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) jika masalah tunggakan gaji dalam Liga Malaysia gagal dihentikan.
Menurut kenyataannya dalam Berita Harian, FAM dan Malaysian Football League (MFL) selaku badan pengendali Liga Malaysia perlu segera menyelesaikan masalah berkenaan sebelum FIFA mengambil tindakan terhadap Malaysia.
Baca Juga:
- Ini Rahsia Bangsa Cina Simpan Duit Yang Semua Orang Boleh Ikut
- Mengapa Pengguna CIMB Tidak Perlu Panik Dengan Servis DuitNow
- Menyesal Tidak Guna Lebih Awal, Peniaga Ini Kongsi Kelebihan Kad Kredit Untuk Bisnesnya
Isu tunggakan gaji sentiasa berlaku setiap musim dan ia turut menjejaskan imej Liga Malaysia di Asia.
“Keadaan Liga M semakin buruk dan ia membimbangkan. Melainkan tindakan segera dan tegas diambil oleh pihak berkepentingan dalam liga dan FAM. Kita berisiko berdepan sekatan daripada FIFA susulan masalah pembayaran gaji tidak dapat diselesaikan.
“Krisis ini juga menjejaskan keupayaan kita untuk menarik pemain asing pada musim akan datang yang mana memberi impak kepada pasukan seperti Johor Darul Ta’zim, Terengganu dan Selangor.
“Walaupun pasukan itu tidak terbabit dengan masalah berkenaan, tetapi masih berisiko menerima tempias kerana reputasi liga yang tercalar,” kata Pekan.
Sebelum ini, kapten Kuala Lumpur City (KL City), Paulo Josue mendedahkan beliau tidak menerima bayaran gaji selama 7 bulan sejak Disember 2023.
Malah, beberapa pasukan Liga Super juga sudah mula kedengaran gagal membayar gaji pemain sekaligus mengambarkan bahawa mereka tidak mempunyai kewangan yang kuat untuk mengharungi baki saingan musim ini.