Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong menyatakan Program RXZ Members Ride 3.0 yang diadakan selama dua hari sejak Jumaat lalu telah memberi kesan serius terhadap rutin harian penduduk, ketenteraman awam serta keselamatan jalan raya di negeri ini.

Beliau berkata sedemikian hasil aduan dan maklum balas diterima daripada penduduk setempat, petik Malaysia Gazette.

“Kami pada prinsipnya menyokong usaha kerajaan menganjurkan acara bagi merancakkan ekonomi tempatan dan jika dirancang dengan baik, acara berskala besar mampu memberi manfaat kepada peniaga kecil, peniaga gerai, hotel serta pengusaha inap desa.

“Namun begitu dalam himpunan ini, kami menerima pelbagai aduan yang mana sebahagian penunggang motosikal telah melanggar lampu isyarat, berlumba di jalan awam serta menunggang secara berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa orang ramai supaya bersikap adil dalam mengkritik perhimpunan  tersebut.

Dalam masa sama beliau bersetuju bahawa peserta yang melanggar peraturan lalu lintas wajar ditegur dan dikritik.

“Saya bersetuju bahawa mereka yang melanggar undang-undang jalan raya perlu dikritik dan ditegur kerana ia membabitkan keselamatan penunggang serta pengguna jalan raya lain.

“Untuk membuat penghakiman secara menyeluruh bahawa perhimpunan RXZ ini adalah sesuatu yang buruk sepenuhnya adalah sesuatu yang saya tidak setuju.

“Dalam kalangan puluhan ribu yang hadir, berapa ramai sebenarnya yang melanggar undang-undang? Saya percaya jauh lebih ramai yang menunggang secara berdisiplin dan bertanggungjawab,” katanya.