Calon Presiden Barcelona, Marc Ciria menggunakan pendekatan membawa kembali Lionel Messi ke kelab tersebut sebagai ‘senjata’ kempennya untuk merebut jawatan tersebut daripada Joan Laporta pada pemilihan yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh masa Mac hingga Jun nanti.
Menurut sumber laporan Goal, Ciria akan melakukan segalanya untuk merealisasikan impian untuk membawa Messi kembali ke Nou Camp.
Baca Juga:
- De La Fuente: Messi Masih Mampu Jadi Penentu Kejuaraan Buat Argentina Di Piala Dunia 2026

- Messi Tamatkan Penantian Piala Di Amerika Syarikat, Bantu Inter Miami Muncul Juara MLS Cup

- Jordi Alba: Jangan Bandingkan Messi Dengan Yamal, Dia Tiada Tandingan

Walaupun cadangan itu dikritik Laporta yang mengatakan amat tidak realistik untuk membawa Messi kembali sebagai pemain, pesaingnya itu tetap yakin dengan janjinya.
Ciria berkata beliau sedang berusaha ke arah satu perjanjian untuk menjayakan perancangannya itu.
Sentimen Messi Jadi Kempen Utama Ciria
Apabila ditanya sama ada beliau sudah menghubungi atau berbincang dengan pemain berpengalaman dari Argentina itu, Ciria menjelaskan:
“Leo Messi adalah sebuah syarikat multinasional. Hakikatnya, ia sesuatu yang mengagumkan dan kita seharusnya mengambil iktibar kerana beliau dikelilingi oleh pasukan profesional bertaraf tertinggi dalam setiap aspek.”
“Jadi, ini bukan soal keluar makan barbeku tetapi tentang mencadangkan satu projek yang sebenar, di mana Leo Messi menjadi rakan strategik kepada kelab.”
“Individu di sekeliling Leo Messi dan mereka yang membuat keputusan bersamanya mempunyai satu projek untuk menjadikan Leo Messi sebagai rakan strategik dalam semua bidang yang kita amat perlukan untuk meningkatkan hasil pendapatan.”
“Satu fakta sahaja sudah mencukupi ketika ini kami menjana pendapatan sebanyak €994 juta. Pada musim 2017–18, dengan apa yang saya anggap sebagai lembaga pengarah terburuk dalam sejarah kelab, kami menjana €990 juta.”
“Jika saya mengambil kira kadar inflasi dan kos sara hidup sahaja, Barcelona sepatutnya menjana pendapatan €1.2 bilion hari ini.”
“Sama ada kita sedar bahawa Leo Messi adalah aset strategik, bukan hanya untuk masa kini tetapi untuk masa depan kelab serta untuk melindungi dan mengekalkan model pemilikan kelab atau kita sebenarnya tidak memahami dunia sukan hari ini.”
Namun begitu, Ciria mengakui bahawa kepulangan Lionel Messi sebagai pemain bukan berada di bawah bidang kuasanya, sambil berkata: “Perkara itu akan ditentukan oleh pihak pengurusan sukan bersama Messi sendiri, bukan oleh Marc Ciria. Ini mengubah banyak perkara.”
“Saya sangat mahu Leo Messi mengucapkan selamat tinggal dari stadium ke stadium sebagai pemain Barcelona tetapi jika itu tidak dapat direalisasikan, maka beliau boleh kembali sebagai figura institusi dan komersial yang mampu memberikan kami sumber yang sangat diperlukan.”