Bekas pemain badminton negara, Koo Kien Keat melihat jurang gaji ditawarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kepada jurulatih import dan tempatan membuatkan beliau tidak berminat untuk menyertai barisan kejurulatihan kem badminton Malaysia.
Kekecewaan itu diluahkan Kien Keat selepas melihat jurulatih tempatan sering kali tidak mendapat layanan sama daripada segi tawaran gaji seperti dinikmati jurulatih yang direkrut dari luar negara.
Baca Juga:
- Ini Jumlah Wang Bakal Diraih Pemain Dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026

- Senarai Pemain Badminton Negara Yang Sertai Terbuka Malaysia 2026

- Ini Pemain Badminton Yang Menerima Hadiah Keseluruhan Tertinggi Pada 2025

Pada ketika ini skuad badminton negara memiliki beberapa pengendali dari luar negara yang mengendali pasukan utama seperti Rexy Mainaky, Herry Iman Pierngadi, Muhammad Miftah dan Nova Widianto dari Indonesia serta Kenneth Jonassen (Denmark).
Luahan Koo Kien Keat
“Saya memang sudah tidak ada hati. Bukan kecewa, tapi sekarang saya lebih fokus dengan kerja saya sendiri,” ujar Kien Keat menurut sumber laporan BH Online.
“Dulu saya harap boleh jadi jurulatih tempatan pertama yang diberi tawaran tinggi sebagai permulaan baik untuk yang lain, tetapi ia tidak berlaku.”
“Dalam masyarakat Cina, kita selalu kata ‘bulan di luar negara lebih bulat’. Di negara sendiri, bulan itu macam tak berapa bulat,” tambah pemenang pingat emas Sukan Asia 2006 itu lagi.
Dalam perkembangan lain mengenai Kien Keat, beliau mengakui secara sukarela membantu gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dalam menghadapi kejohanan Terbuka Malaysia 2026.
“Untuk kejohanan ini, saya bantu kerana mereka sendiri minta. Ini bukan tugas penuh, hanya bantuan sukarela tanpa bayaran.”
“Ada perkara teknikal yang boleh diperbaiki, tetapi fokus utama saya adalah aspek mental.”