Sudah menjadi impian setiap lelaki untuk memiliki jentera idaman, lebih-lebih lagi model high-performance seperti Honda Civic Type R FL5. Namun, biarlah impian itu seiring dengan kemampuan poket sendiri, bukan dengan cara menyusahkan orang lain.
Baru-baru ini, tular sebuah kisah yang meruntun hati sekaligus membangkitkan kemarahan netizen mengenai dilema seorang wanita yang bekerja sebagai jururawat di Singapura.
Gaji Singapura Jadi ‘Target’

Menerusi satu luahan yang dikongsikan menerusi kumpulan FB Muflis Bankrupt di Malaysia, jururawat berkenaan mendedahkan dia kini berada dalam situasi buntu apabila tunangnya mendesak untuk membeli sebuah Honda FL5.
Apa yang lebih mengejutkan, tunangnya itu difahamkan mempunyai pendapatan yang kecil dan tidak melayakkannya untuk membuat pinjaman bank bagi kereta yang bernilai hampir RM400,000 itu.
Disebabkan wanita tersebut baru sahaja memulakan kerjaya di Singapura dengan gaji yang lebih stabil, si tunang mengambil kesempatan memintanya menjadi penjamin (guarantor) bagi membolehkan impian memiliki kereta tersebut tercapai.
Untuk menyakinkan pasangannya berbuat sedemikian, dia mendakwa mampu membayar bulanan kereta tersebut kerana mempunyai bisnes towing motor.
Netizen ‘Nampak’ Red Flag
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa berang dan menyifatkan tindakan lelaki tersebut sebagai satu tanda amaran besar atau ‘red flag’.
“Baru tunang dah berani minta jadi penjamin untuk kereta mewah. Kalau dah kahwin nanti, entah apa lagi yang digadai. Sila lari selagi boleh!” tulis seorang netizen.
Ramai juga yang mengingatkan jururawat berkenaan tentang risiko menjadi penjamin. Jika bayaran bulanan yang dianggarkan mencecah RM4,000 ke RM5,000 itu gagal dijelaskan, nama wanita itulah yang akan disenaraihitamkan oleh pihak bank, bukannya si pemandu.
Ukur Baju Di Badan Sendiri
Isu ini membangkitkan semula topik ‘ukur baju di badan sendiri’. Tidak salah meminati kereta mewah, namun memaksakan komitmen kewangan yang berat ke atas pasangan terutamanya sebelum ada ikatan sah suami isteri adalah satu tindakan yang dianggap tidak bertanggungjawab.
Setakat ini, hantaran tersebut telah mendapat ribuan perkongsian dengan nasihat yang hampir serupa: Jangan sesekali jadi penjamin untuk hutang yang bukan keperluan, apatah lagi jika ia di luar kemampuan.