Pengurus Crystal Palace, Oliver Glasner menyatakan bahawa Marc Guehi akan menyertai Manchester City, jika kelab itu menawarkan harga yang memuaskan untuk Palace.

Guehi sebelum ini hampir menyertai Liverpool, namun rundingan terbatal saat akhir selepas kelab memutuskan enggan menjual pemain itu atas tekanan dikenakan Glasner.

Glasner ketika itu menyatakan dia kecewa kerana kelab telah melepaskan beberapa pemain penting dan tidak mencari pengganti setara.

Guehi sudah memberitahu Palace bahawa dia tak akan melanjutkan kontrak di kelab itu. Bermakna dia akan pergi secara percuma apabila musim ini berakhir.

Kelab seperti Liverpool, Man City, Arsenal malah Real Madrid antara yang dikaitkan dengan Guehi.

Dan kini, Glasner menyatakan bahawa dia yakin bahawa pemain itu akan menyertai Manchester City jika kelab itu menawarkan harga yang memuaskan.

Menurut Glasner: “Ada situasi di mana kontraknya akan berakhir pada musim panas akan datang.

“Dan jika ada kelab yang datang dengan tawaran, maka itulah detik di mana, kelab menyatakan bahawa pada masa sekarang, isu kewangan lebih penting berbanding kesukanan [memandangkan kontrak pemain sudah hampir berakhir].

“Kita harus mencuba melakukan yang terbaik. Sebab itu saya selalu berkata, saya tak tahu, kerana situasi ini benar benar berbeza.

“Akan ada satu tahap, di mana kelab berada di ambang, terpaksa berkata [jual]… Jika pemain berkata: ‘Saya mahu pergi’ dan wang yang ditawarkan melebihi paras itu, ia akan berlaku.

“Saya tidaklah terlalu naif untuk tidak tahu bahawa jika tawaran besar datang daripada City dan Marc mahu ke sana, ia akan berlaku.”