Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi mendedahkan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) badan induk tersebut bersedia untuk melepaskan jawatan dipegang.

Keadaan tersebut perlu diambil barisan Exco sekiranya langkah meletakkan jawatan dapat mengelakkan FAM daripada menerima hukuman penggantungan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sekali gus kelangsungan kancah bola sepak negara negara tidak terjejas.

Menurut sumber laporan Bernama, perkara tersebut turut menjadi topik perbincangan barisan Exco dalam satu perjumpaan yang diadakan di Subang, semalam.

“Hari ini [semalam] kita memanggil semua exco untuk membincangkan hala tuju FAM dan ia tentu sekali berkaitan kenyataan Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John mengenai penggantungan FAM.”

“Kalau pilihan itu [meletakkan jawatan] adalah keputusan terbaik, kita akan buat secara sebulat suara kerana kita bersatu hati sebagai exco.”

“Kita mengambil kira pandangan exco hari ini tetapi keputusan muktamad belum ada. Ada dua atau tiga pilihan,” ujar Mohd Yusoff menurut sumber Bernama.

Beberapa hari lalu, Windsor mengeluarkan kenyataan yang mengatakan sekiranya persatuan itu digantung, kesemua pasukan melibatkan pasukan kebangsaan dan kelab dari Malaysia tidak dibenarkan untuk beraksi di luar negara.

 

Sumber