Senarai penuh empat pasukan yang bakal beraksi di pentas separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 menyaksikan empat kuasa besar benua Afrika mengesahkan tempat ke kelompok terbaik kejohanan.
Maghribi, Nigeria, Senegal dan Mesir masing-masing cemerlang untuk mara selepas menampilkan persembahan meyakinkan di peringkat suku akhir.
Baca Juga:
- Drama Tiga Penjaga Gol Uganda Tamatkan Kempen AFCON 2025 Dengan Kekecewaan

- AFCON 2025: Maghribi Tundukkan Comoros 2-0, El Kaibi Pukau Peminat Dengan Gol Sepakan Gunting

- Daripada Reformis Kepada Gila Kuasa, Eto’o Desak Pengurus Guna Skuad Pilihannya Untuk AFCON

Maghribi selaku tuan rumah AFCON 2025 tidak menghiraukan kelebihan penguasaan permainan dimiliki Cameroon untuk menang 2-0 hasil jaringan berharga Brahim Diaz dan Ismael Saibari.
Nigeria yang sebelum ini dibelenggu masalah pembayaran bonus tidak menjadikan perkara tersebut sebagai masalah untuk mereka menjadikan Algeria sebagai mangsa dengan kemenangan 2-0.
Gol kemenangan juara tiga kali kejohanan itu disumbangkan oleh Victor Osimhen dan Akor Adams pada separuh masa kedua.
Gol tunggal Illiman Ndiaye pada minit ke-27 sudah cukup buat Senegal untuk memastikan kemaraan dengan menewaskan Mali.
Manakala Mesir turut mengisi slot ke separuh akhir AFCON 2025 walaupun diberikan tentangan sengit juara bertahan, Ivory Coast dengan kemenangan 3-2.
Omar Marmoush, Ramy Rabia dan Mohamed Salah menjaringkan gol buat Mesir manakala gol Ivory Coast pula dihasilkan oleh gol sendiri Ahmed Abou El Fotouh dan Guela Doue.
Aksi Separuh Akhir AFCON 2025
Di peringkat separuh akhir, Senegal akan berhadapan dengan Mesir manakala Maghribi pula bakal menghadapi cabaran Nigeria.
Berdasarkan rekod, Mesir merupakan juara terbanyak kejohanan AFCON paling berprestij di Afrika itu dengan tujuh kejuaraan.