Sadio Mane tampil menjelaskan sebab mengapa dia kekal berada di atas padang ketika rakan-rakannya sudah keluar dan menuju ke bilik persalinan sebagai tanda protes untuk tidak meneruskan permainan.
Senegal sebenarnya tidak akan pernah mengetahui tuah mereka sekiranya mereka benar-benar menyerah kalah dan enggan menyambung perlawanan ini.
Sadio Mane menjelaskan keputusannya untuk mengingkari arahan pengurus, sekali gus menghalang rakan-rakan sepasukan Senegal daripada meninggalkan padang dalam perlawanan final Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) yang penuh kekecohan menentang tuan rumah, Morocco.
Beberapa keputusan kontroversi telah menimbulkan kemarahan skuad Senegal, dengan pemberian sepakan penalti susulan dakwaan kekasaran ke atas Brahim Diaz menyebabkan beberapa pemain berjalan keluar padang. Bekas bintang Liverpool itu bagaimanapun berjaya memanggil mereka kembali.
Perlawanan tertangguh selama beberapa minit, dengan Mane kelihatan tegas memanggil rakan-rakan sepasukan Senegal untuk kembali ke padang.
Ketika aksi disambung semula, Brahim Diaz gagal menyempurnakan sepakan penalti yang boleh menghadiahkan gol kejuaraan buat tuan rumah. Sebaliknya, perlawanan berlanjutan ke masa tambahan dan Senegal akhirnya menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk bergelar juara.
Selepas menjulang gelaran AFCON kedua Senegal sebagai kapten, Mane menjelaskan kepada wartawan sebab dia memilih untuk tidak menambah lagi kontroversi dan menasihati rakan-rakan sepasukan agar terus bermain walaupun berasa kecewa.
Mane berkata: “Apabila mereka membuat keputusan untuk keluar dan tidak bermain, saya kekal dan bertanya kepada beberapa orang, ‘Apa pendapat kamu tentang perkara ini? Adakah ia idea yang baik atau tidak?’ Kemudian saya membuat keputusan untuk pergi dan membawa semua orang kembali ke padang. Saya fikir itu adalah perkara terbaik untuk dilakukan.”
Menurut Mane lagi, pengadil pun manusia biasa, yang boleh melakukan kesilapan. Itu benda biasa dalam bola sepak. Mane melanjutkan:
“Kerana ini hanyalah bola sepak. Saya rasa pengadil kadang-kadang boleh melakukan kesilapan. Orang di seluruh dunia sedang menonton. Sama ada ia penalti atau tidak, itu bukan perkara paling penting. Apa yang penting ialah menghormati permainan. Tidak adil untuk menghentikan perlawanan seperti ini.”

Pengurus Senegal yang mencetuskan idea untuk berhenti bermain turut kesal dengan tindakannya.
Beliau berkata: “Saya langsung tidak berpuas hati dengan tindakan saya yang menyuruh pemain keluar padang. Saya memohon maaf kepada bola sepak. Selepas berfikir semula, saya memanggil mereka kembali. Kadang-kadang, kita boleh bertindak mengikut emosi. Tetapi kami menerima kesilapan pengadil. Kami memohon maaf kepada bola sepak.”
Mane jelas menunjukkan ciri kepimpinan dalam situasi sukar. Mane turut mengulas mengenai insiden yang mendapat perhatian seluruh dunia itu dan menegaskan beliau tidak mahu Afrika dipandang negatif akibat kejadian seperti ini.
“Bola sepak adalah sesuatu yang istimewa. Dunia sedang menonton, dunia menyukai bola sepak, dan saya fikir bola sepak adalah satu keseronokan, jadi kita perlu memberikan imej yang baik untuk bola sepak.
“Saya rasa sangat gila untuk tidak meneruskan perlawanan hanya kerana pengadil memberikan penalti lalu kita keluar dari permainan. Itu adalah perkara paling buruk, terutamanya untuk bola sepak Afrika. Saya lebih rela kalah daripada perkara seperti ini berlaku kepada bola sepak kita.
“Saya rasa ia sangat buruk. Bola sepak tidak sepatutnya terhenti walaupun selama sepuluh minit, tetapi apa yang boleh kita buat? Kita perlu menerima apa yang telah berlaku. Perkara baiknya ialah kita kembali, kita bermain, dan apa yang berlaku, biarlah berlaku.”
Bekas pemain antarabangsa Morocco, Hassan Kachloul, memuji sikap Mane ketika bertugas sebagai penganalisis perlawanan.
Beliau berkata: “Apa yang paling saya suka, satu-satunya pemain daripada pasukan Senegal yang bertindak demikian ialah Sadio Mane. Itu menunjukkan betapa hebatnya peribadi beliau. Dia pergi ke bilik persalinan dan membawa pemain-pemain itu kembali. Mane ialah individu yang membawa mereka kembali ke padang.”