Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikatakan sebulat suara bakal meletakkan jawatan pada minggu hadapan.
Menurut sumber laporan BH Online, tindakan itu bakal diambil barisan Exco sebagai usaha untuk menyelamatkan badan induk bola sepak negara.
Hal ini kerana FAM berkemungkinan digantung Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu salah laku dalam pendaftaran tujuh pemain warisan negara.
Sebelum ini, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John, mengeluarkan kenyataan bahawa sekiranya persatuan itu digantung, kesemua pasukan kebangsaan dan kelab Malaysia tidak dibenarkan untuk beraksi di luar negara.
Kemudiannya, Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi pula mendedahkan exco badan induk tersebut bersedia untuk melepaskan jawatan dipegang.
“Kalau pilihan itu [meletakkan jawatan] adalah keputusan terbaik, kita akan buat secara sebulat suara kerana kita bersatu hati sebagai exco.”
Peletakkan Jawatan Exco FAM Langkah Terbaik
AFC dilaporkan mencadangkan supaya jawatankuasa eksekutif FAM berundur dalam usaha mengelakkan penggantungan.
Sekiranya berlaku, ia akan menyaksikan persatuan itu ditadbir sementara oleh FIFA dan AFC.
Sehubungan dengan itu, keputusan untuk meletakkan jawatan beramai-ramai oleh Exco FAM dilihat sebagai strategi jelas untuk mengelakkan pengambilalihan penuh oleh jawatankuasa normalisasi yang dilantik FIFA.
Hanya dengan memilih untuk berundur secara sukarela, ia dapat membuka laluan kepada penubuhan jawatankuasa sementara bagi mengendalikan Kongres Luar Biasa dan pemilihan baharu.
FAM bertegas mahu membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas rayuan berhubung hukuman ditolak oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA.
Situasi berkaitan dengan hukuman itu menyaksikan FAM perlu membayar denda CHF350,000 (RM1.8 juta), manakala tujuh pemain yang terlibat dikenakan denda CHF2,000 (RM10,600) serta digantung daripada semua aktiviti bola sepak selama 12 bulan.
Tidak cukup dengan itu, FIFA juga membatalkan keputusan Malaysia dalam tiga perlawanan persahabatan antarabangsa tahun lalu, dengan memberikan kemenangan 3-0 kepada Cape Verde, Singapura dan Palestin.