Bintang Real Madrid, Vinicius Junior meluahkan isi hatinya dengan penuh emosi kepada penyokong Los Blancos sebaik sahaja beliau membantu kelab tersebut membelasah AS Monaco 6-1 dalam aksi UEFA Champions League (UCL) 2025/26.
Sejak kebelakangan ini kem Real Madrid bagai dilanda badai dan kemuncaknya Xabi Alonso meninggalkan pasukan hanya selepas lapan bulan.
Vinicius yang sering dilihat tidak sebulu dengan Alonso menyebabkan beliau menjadi mangsa ejekan penyokong Real Madrid termasuklah ketika aksi di laman sendiri.

Pemain kelahiran Brazil itu pada ketika ini di’boo’ oleh penyokong Real Madrid yang nyata tidak gemar dengan apa sedang berlaku di kem pasukan.
Keadaan itu menyebabkan Vinicius meluahkan rasa kekecewaannya tetapi menyatakan beliau tetap tenang dalam menerima tekanan sedemikian.
Vinicius Luah Kekecewaan
“Bermain untuk kelab terbesar di dunia memang sangat rumit, dengan tuntutan yang terlalu tinggi,” kata beliau menurut sumber laporan Goal.
“Namun saya juga manusia. Saya tidak mahu diejek di gelanggang sendiri, tempat di mana saya sepatutnya berasa selesa.”

“Dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini, saya tidak berasa selesa kerana setiap kali saya melakukan kesilapan, saya akan diejek.”
Walaupun mengakui penyokong membayar tiket yang sangat mahal dan mempunyai hak untuk menuntut prestasi terbaik, Vinicius mengakui suasana kebelakangan ini di Santiago Bernabeu adalah sangat rumit.
“Di gelanggang sendiri, kami memerlukan sokongan penuh penyokong supaya segalanya kembali normal. Jika kami bersatu, musim ini akan menjadi lebih baik.”