Vietnam mempamerkan semangat juang tinggi untuk menewaskan Kuwait 5-4 pada aksi kumpulan B Piala Asia Futsal 2026 yang berlangsung di Jakarta International Velodrome sebentar tadi.
Kemenangan penting dilakarkan Vietnam itu mengikuti jejak langkah satu lagi wakil Asia Tenggara (ASEAN), Thailand yang menewaskan Lebanon 2-0 dimana turut berada dalam kumpulan B.
Dibimbing Diego Raul Giustozzi, Vietnam tersentak pada minit kelapan selepas kesilapan Trinh Cong Dai yang terpijak bola di kawasan sendiri hingga membolehkan Abdullah Thamer meledakkan rembatan untuk gol pertama Kuwait.
Kuwait terus garang menambah jaringan hanya berselang dua minit kemudian menerusi percubaan padu Abd Al-Aziz Borashed yang hanya mampu dipandang penjaga gol Vietnam, Pham Van Tu.
Ketinggalan dua gol tidak langsung merentap semangat juang barisan pemain Vietnam yang berjaya merapatkan jurang gol juga pada minit kesembilan menerusi Chau Doan Phat.
Aksi lebih menarik dengan jaringan penyamaan dihasilkan Nguyen Thinh Phat pada minit ke-15 dan tiga minio kemudian kemudian Kuwait kembali dihadapan menerusi gol Abdulaziz Alsarraj.
Ketika aksi babak pertama hanya satu saat untuk ditamatkan, Nguyen Manh Dung menolak masuk bola selepas ketua pasukan Vietnam itu menerima hantaran lintang daripada Doan Phat.
Bagaimanakan mendapat tonik berguna pada rehat separuh masa pertama, Vietnam mendapatkan jaringan keempat hasil percubaan leret dari luar kawasan D oleh Tu Minh Quang pada minit ke-30.
Tidak cukup dengan itu, Manh Dung menjadikan kedudukan 5-3 pada minit ke-32 berpunca daripada situasi sepakan percuma yang gagal diselamatkan penjaga gol Kuwait, Fahad Alkhawari.
Kuwait yang menggunakan taktikal ‘Power Play’ di lewat permainan berhasil mencipta jaringan keempat menerusi percubaan tonjol jarak jauh oleh Alsarraj pada minit ke-38 bagi memberikan tekanan buat Vietnam.
Ancaman berterusan dilancarkan Kuwait bagaimanapun gagal untuk menjelmakan jaringan penyamaan untuk aksi berkesudahan 5-4 memihak Vietnam.
Dengan kemenangan ini, Vietnam berkongsi tiga mata dengan Thailand, tetapi kelebihan perbezaan jaringan lebih memihak skuad Gajah Perang untuk berada di kedudukan teratas kumpulan B Piala Asia Futsal 2026.