Malaysia sekali lagi mengukir nama di pentas Asia apabila berjaya mara ke Piala Asia Futsal 2026 yang bakal berlangsung pada Januari nanti di Jakarta, Indonesia.

Skuad kendalian Rakphol Sainetngam mempamerkan aksi baik berdepan gergasi dunia, Iran walaupun tewas 0-4 pada aksi terakhir peringkat kumpulan yang akhirnya menamatkan penantian Malaysia untuk beraksi di pentas tertinggi futsal Asia tersebut.

Baca Juga:

Namun, pencapaian ini bukan sekadar satu tiket ke kejohanan berprestij, sebaliknya ia memberi isyarat jelas bahawa sudah tiba masanya futsal negara dipandang lebih serius semua pihak.

Jika benar kita mahu melangkah lebih jauh selepas ini, beberapa perkara perlu dititikberatkan secara menyeluruh oleh pihak terlibat termasuklah para penyokong.

Piala Asia Futsal
Kredit Foto: FAM

Piala Asia Futsal 2026 Satu Permulaan

1) Kualiti Liga dan Pembangunan Bakat

Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) tidak boleh hanya dilihat sebagai pertandingan bermusim semata-mata.

Ia mesti dijadikan platform utama mencungkil bakat dan melatih pemain dengan standard profesional.

Liga yang lebih kompetitif, teratur dan stabil akan melahirkan pemain yang mampu bersaing dengan negara-negara besar futsal seperti Iran, Jepun, Uzbekistan malah lebih unggul daripada trio jiran iaitu Thailand, Indonesia dan Vietnam.

Akademi di peringkat akar umbi juga perlu diperkasa supaya bakat tidak terhenti di peringkat sekolah atau komuniti sahaja.

Sebagai kesinambungan, saingan futsal lebih kompetitif seawal peringkat sekolah juga perlu diwujudkan untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu.

2) Pelaburan Infrastruktur

Kejayaan pasukan bermula dengan fasiliti yang berkualiti. Kita perlukan lebih banyak gelanggang futsal bertaraf antarabangsa, pusat latihan moden, serta kemudahan yang selesa untuk pemain muda.

Infrastruktur yang baik bukan sahaja memberi ruang kepada pemain elit tetapi juga kepada masyarakat umum untuk terlibat dalam futsal secara lebih serius.

Ya, ia sukar kerana melibatkan kos jutaan ringgit tetapi hakikatnya pelaburan sebegini adalah asas untuk melahirkan lebih ramai bakat berkualiti dalam futsal.

3) Ilmu Kejurulatihan dan Sains Sukan

Futsal moden berkembang pesat dengan pendekatan taktikal dan teknologi.

Jurulatih perlu diberi akses kepada kursus, pengalaman luar negara dan pendedahan kepada falsafah permainan terkini.

Begitu juga dengan penerapan sains sukan dari aspek pemakanan, analisis data, psikologi sukan hingga ke pemulihan kecederaan.

Adunan perkara di atas adalah kunci untuk membawa prestasi futsal negara ke tahap optimum.

Bukan Sekadar Ke Piala Asia Futsal 2026: Inilah Blueprint Masa Depan Futsal Malaysia
Kemaraan Piala Asia Futsal 2026 satu permulaan untuk masa depan futsal negara. Kredit Foto: FAM

4) Sokongan Penajaan dan Komersial

Tanpa dana yang kukuh, semua perancangan akan terbantut.

Penajaan harus digerakkan dengan cara yang lebih kreatif agar syarikat melihat futsal sebagai platform pemasaran yang berbaloi.

Liputan media, penghasilan kandungan digital dan pengurusan komersial yang profesional mampu membuka ruang lebih luas untuk pelaburan bagi menyokong futsal lebih mendapat publisiti dan membawa pulangan.

5) Budaya Menyokong

Di luar gelanggang, budaya menyokong juga memainkan peranan besar.

Futsal harus dijadikan sebahagian daripada gaya hidup anak muda.

Kehadiran penyokong di stadium, kesedaran di media sosial, dan keterlibatan komuniti akan membina suasana kompetitif serta memberi motivasi tambahan kepada pemain.

6) Inspirasi Generasi Baru

Kemaraan ke Piala Asia Futsal 2026 ini juga perlu dijadikan inspirasi untuk generasi seterusnya.

Pemain-pemain muda harus melihat bahawa futsal bukan sekadar aktiviti riadah  tetapi laluan kerjaya yang menjanjikan.

Idola baharu perlu dilahirkan bukan sahaja sebagai atlet, tetapi juga ikon yang mampu menggerakkan masyarakat untuk mencintai futsal.

Contoh terdekat pada ketika ini pastinya pemain muda sedang meningkat naik, Syahir Iqbal Khan Akbar Khan yang boleh dianggap sebagai fenomena baharu dalam futsal dengan kemampuan hebat, dedikasi dan disiplin tinggi dijelmakannya.

Kesimpulan

Jika semua pihak berganding bahu, kejayaan ke Piala Asia Futsal 2026 bukanlah kemuncak, tetapi titik permulaan kepada era baharu futsal Malaysia.

Jika keenam-enam aspek ini digerakkan dengan serius, Malaysia bukan sahaja mampu menjadi pencabar di Asia tetapi tidak mustahil juga dapat melakar sejarah baharu di pentas dunia.

Selain itu, kemaraan ini juga membuktikan bahawa dengan kesungguhan, disiplin dan sokongan padu, futsal Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan kuasa besar Asia.

Inilah masanya kita bersama-sama membina masa depan yang lebih gemilang.