Malaysia berjaya mengesahkan tempat ke Piala Asia Futsal 2026 meskipun tunduk 0-4 kepada gergasi dunia, Iran pada aksi terakhir pusingan kelayakan yang berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan sebentar tadi.
Kejayaan mara ke Piala Asia Futsal 2026 di Jakarta itu hadir selepas Malaysia berada di kedudukan keenam dalam senaraiĀ pasukan tangga kedua.
Ia sekali gus turut menamatkan penantian skuad negara untuk membuat penampilan di pentas Piala Asia dimana kali terakhir Malaysia beraksi dalam edisi 2018 di Chinese Taipei.
Beraksi berdepan lawan yang menghuni ranking kelima dunia, Malaysia jelas berdepan kesukaran terutamanya gerakan-gerakan kreatif dijelmakan pemain Iran.
Hakikat itu dibuktikan dengan jaringan pembukaan lawan menerusi Mehdi Mehdikhani pada minit keempat.
Malaysia yang sesekali cuba memberikan ancaman ke kubu Iran hampir mendapatkan jaringan tetapi percubaan jarak jauh Awalluddin Mat Nawi ketika penjaga gol meninggalkan posisinya sekadar singgah di palang gol.
Iran menambah jaringan kedua menerusi Hossein Derakhshani pada minit ke-12 berpunca daripada kealpaan pemain negara tidak mengawal pemain tersebut untuk kedudukan 2-0 buat Iran.
Memasuki babak kedua, skuad negara cukup kental dalam bertahan hingga membuatkan Iran sukar untuk masuk ke dalam kawasan D skuad kendalian Rakphol Sainetngam itu.
Namun ketika memasuki minit ke-33, Hossein Tayebi melakukan percubaan susulan yang menewaskan Syaifuddin Syukri untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Tiga minit kemudian giliran Ali Khalilvand pula menghasilkan jaringan buat Iran untuk menambah tekanan buat skuad negara yang perlu menghalang gawang dibolosi lebih daripada empat gol.
Permainan powerplay dimainkan hampir memberikan jaringan buat skuad negara tetapi digagalkan kecemerlangan Saied Momeni.
Percubaan lewat permainan daripada Iran ketika Malaysia menerapkan taktikal powerplay juga hampir memusnahkan harapan negara untuk mara tetapi rembatan jarak jauh Tayebi sedikit tersasar.
Kekalahan 0-4 itu sudah cukup untuk membawa Malaysia ke Jakarta untuk beraksi bersama 15 lagi pasukan terbaik Asia pada penghujung Januari 2026.