Indonesia nyata terlalu unggul pada perlawanan pembukaan Piala Asia Futsal 2026 selepas membelasah Republik Korea 5-0 dalam aksi yang berlangsung di Indonesia Arena, sebentar tadi.
Mendapat sorakan padu ribuan penyokong sendiri, anak buah Hector Suoto Vazquez menggunakan kelebihan tersebut untuk tampil dengan cukup garang.
Indonesia Cemerlang Pada Aksi Pembukaan Piala Asia Futsal 2026
Ia jelas dibuktikan apabila Indonesia hanya memerlukan dua minit sahaja untuk membuka tirai jaringan menerusi ketua pasukan, Mochammad Iqbal Rahmatullah.
Berpunca daripada sepakan ke dalam oleh Muhammad Rizki Xavier, Iqbal melepasi kawalan pemain Korea untuk menolak masuk gol pembukaan.
Penguasaan berterusan ditampilkan skuad Indonesia membolehkan jaringan kedua terhasil pada minit ke-11 oleh Rio Pangetsu Putra. Rio melakukan percubaan leret dari luar kawasan D untuk menewaskan penjaga gol Korea, Jeong Jooho.
Memasuki minit ke-21, Iqbal sekali lagi menemui sentuhan jaringan selepas beliau mudah menolak masuk bola selepas percubaan awal Rizki Xavier ditepis Jooho untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Penyokong Indonesia terus melonjak kegembiraan pada minit ke-29 setelah Israr Megantara dengan tenang menyudahkan peluang dalam D setelah menerima lorongan kemas daripada Firman Adriansyah.
Pesta jaringan Indonesia ditutup Reza Gunawan pada minit ke-37 bagi memastikan kemenangan selesa 5-0 memihak skuad Garuda tersebut.
Kemenangan besar itu meletakkan Indonesia di tangga teratas kumpulan A, berkelebihan perbezaan jaringan berbanding Iraq yang turut meraih tiga mata.
Indonesia akan bertemu Kyrgyzstan (8.00 malam) manakala Iraq pula berhadapan dengan Republik Korea (2.00 petang) bagi aksi kedua Piala Asia Futsal 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Khamis nanti.