Thailand dan Vietnam meneruskan rentak cemerlang dalam Piala Asia Futsal 2026 apabila meraih kemenangan kedua yang sekali gus mara ke suku akhir.

Kejayaan melepasi peringkat kumpulan itu turut menyamai pencapaian kedua-dua pasukan pada edisi 2024. Saingan di Bangkok tersebut juga menyaksikan Thailand dan Vietnam turut berada dalam satu kumpulan.

Thailand, Vietnam Lepasi Cabaran

Vietnam yang beraksi lebih awal di Jakarta International Velodrome mempamerkan aksi bertenaga untuk menewaskan Lebanon 2-0.

Dua gol tersebut hadir pada awal permainan menerusi jaringan Dinh Cong Vien ketika aksi baharu memasuki saat ke-19 dan Vu Ngoc Anh pada minit ketiga.

Gol pantas itu sudah cukup untuk membawa Vietnam ke peringkat suku akhir dimana skuad kendalian Diego Raul Giustozzi itu menang ke atas Kuwait 5-4 pada aksi pertama kelmarin.

Thailand yang turut berada dalam kumpulan B tidak berdepan masalah untuk mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan Kuwait dengan keputusan 6-1.

Piala Asia Futsal 2026: Thailand, Vietnam Layak Ke Suku Akhir
Kredit Foto: Futsal Thailand

Pemain bintang, Muhammad Osamanmusa nyata mencuri tumpuan apabila pemain yang beraksi di Liga Futsal Sepanyol itu meledakkan empat gol pada perlawanan ini.

Beliau membuka tirai jaringan pada minit ke-16 dan menambah gol berselang dua minit kemudian. Osamanmusa melengkapkan hatriknya pada minit ke-22.

Sarawut Palaphruek menambah jaringan keempat pada minit ke-25 hasil percubaan lambung yang menewaskan penjaga gol Kuwait, Fahad Alkhawari.

Gol saguhati Kuwait pula hadir menerusi jaringan sendiri Narongsak Wingwon yang tertampan bola ke gawangnya pada minit ke-30.

Tidak cukup dengan hatrik, Osamanmusa terus garang dengan meledakkan rembatan bagi gol kelima buat Thailand pada minit ke-31.

Ketua pasukan, Itticha Prapaphan menutup pesta jaringan skuad ‘Gajah Perang’ itu hasil gol yang disumbangkannya pada minit ke-36.

Skuad kendalian Rakphol Sainetngam itu dan Vietnam akan bertemu sesama sendiri pada 31 Januari nanti untuk menentukan pasukan mana bakal bergelar juara kumpulan B.