Seorang pelancong wanita cedera pada bahagian muka selepas selfie bersama seekor harimau bintang salji.
Serangan yang berlaku di kawasan kampung Talat, dalam Geopark Global UNESCO Keketuohai di Daerah Fuyun, utara China.
Memetik Daily Mail, Laporan tempatan menyatakan bahawa insiden itu berlaku apabila pemain ski tersebut menghampiri haiwan liar itu pada jarak yang berbahaya demi sekeping foto semasa dalam perjalanan pulang ke hotelnya.
Gambar tersebut menunjukkan wanita itu tersenyum manakala harimau bintang itu sedang mendekam tepat di belakangnya di dalam salji, kelihatan bersedia untuk menerkam.
🏔️A skiing tourist was injured in a snow leopard attack on Friday evening while returning to a hotel in Altay, Xinjiang, #China.
Around 7pm yesterday, the tourist was attacked in a roadside forest belt near Talat village in Koktokay Township. The victim was taken to hospital… pic.twitter.com/ubzJp2oW0D
— News.Az (@news_az) January 24, 2026
Rakaman video yang diambil beberapa ketika kemudian menunjukkan pelancong itu terperangkap di bawah harimau bintang tersebut di dalam salji tebal sebelum dibantu oleh orang awam, sambil memegang mukanya yang berlumuran darah.
Walaupun amaran telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa pada hari sebelumnya selepas haiwan itu dikesan di kawasan tersebut, pemain ski itu tetap menghampiri haiwan itu dalam jarak 10 kaki selepas melihatnya di dalam salji.
Dia dilaporkan berbuat sedemikian kerana tidak mendapat sudut yang cukup baik untuk mengambil gambar.
Haiwan itu kemudian menerkam dan membaham mukanya sebelum seorang pengajar ski menghalau harimau bintang tersebut dengan menghayun kayu skinya.
Pemain ski itu terselamat daripada kecederaan yang lebih parah berkat topi keledar yang dipakainya, namun dia telah dibawa ke hospital tempatan untuk rawatan dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Harimau bintang itu telah dikesan oleh pelancong yang menginap di sebuah hotel di kawasan tersebut pada hari sebelumnya, berhampiran kawasan berumput, berkemungkinan besar kerana kelaparan.
“Kami melihatnya malam tadi, beberapa kilometer dari tempat serangan berlaku, tetapi kami tidak dapat mengesahkan sama ada ia adalah harimau bintang salji yang sama,” kata pemilik hotel tersebut.
Pihak berkuasa tempatan memberi amaran kepada orang awam bahawa beberapa kelibat harimau bintang salji telah dilaporkan di Geopark tersebut sejak kebelakangan ini.
“Baru-baru ini, aktiviti harimau bintang salji telah dikesan di Lembah Gem, Keketuohai.
“Harimau bintang salji adalah pemangsa besar yang mempunyai kecenderungan agresif yang kuat.
“Apabila melalui kawasan ini, sila bergerak pantas dan jangan berlengah-lengah. Jangan keluar dari kenderaan anda atau menghampiri untuk mengambil gambar, dan jangan sesekali berjalan sendirian di kawasan sekitar,” kata pihak berkuasa.
Menurut Snow Leopard Trust, China merupakan rumah kepada jumlah harimau bintang salji liar tertinggi di dunia.