Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim menasihati peniaga beragama Islam agar tidak bersubahat dengan ‘geng plastik hitam’ pada bulan Ramadan nanti.

Beliau berkata amalan menjual makanan kepada individu yang tidak berpuasa bukan sahaja mencemarkan kemuliaan bulan Ramadan, malah ia tidak langsung menyebabkan peniaga mendapat dosa.

Sehubungan dengan itu, Zamri meminta supaya masyarakat dapat memberikan nasihat serta melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat ‘geng plastik hitam’.

Hormati Ramadan

“Terlebih utama kepada peniaga-peniaga, mohon sangat peniaga kita walaupun buka pada waktu pagi, tengah hari dan sebagainya untuk menjual (makanan dan minuman) kepada mereka yang tidak boleh puasa, silakan seperti anak-anak kecil dan sebagainya.”

“Tetapi, sekiranya kita menjual kepada mereka yang sengaja tidak mahu berpuasa, kita sudah dikira bersuhabat. Kita sudah berdosa.”

“Jadi kita mengharapkan perkara ini kuranglah berlaku dan diharapkan umat Islam peka dalam hal ini untuk melaksanakan satu daripada rukun Islam, InsyaAllah,” ujar Zamri menurut sumber laporan Bernama.

Dalam perkembangan sama mengenai bulan Ramadan, Zamri turut mengumumkan bahawa kadar bayaran zakat fitrah di Perak bagi 1447H/2026M ditetapkan sebanyak RM10, RM16 dan RM25 bergantung kepada jenis beras.

RM10 merupakan kadar wajib bagi mereka yang menggunakan beras super spesial tempatan dan beras super import manakala RM16 bagi beras perang, beras wangi, herba ponni dan beras rebusan.

Pengguna beras basmati, beras pulut, beras jepun dan beras merah pula bernilai RM25.

 

 

Sumber