Indonesia melakar sejarah besar apabila menewaskan juara empat kali, Jepun 5-3 untuk mara ke final Piala Asia Futsal 2026 di Jakarta semalam.

Ia satu pencapaian yang sukar dinafikan sebagai detik paling gemilang futsal mereka setakat ini.

Menariknya, kejayaan itu bukan hanya diraikan di Indonesia. Di Malaysia, media sosial turut ‘meriah’ dengan pelbagai analisis spontan daripada warga maya yang rancak membicarakan kemenangan tersebut.

Dalam keterujaan itu, ada juga yang mengambil kesempatan untuk menyorot dan menonjolkan kelemahan pembangunan futsal di Malaysia. Menjadikan kejayaan Indonesia sebagai cermin perbandingan yang pedih buat kita. Hakikat yang perlu diterima.

Tiada Jalan Pintas: Ini Cara Indonesia Membina Skuad Layak Ke Final Piala Asia Futsal 2026
Kredit Foto: 2026 Asian Football Confederation (AFC)

Kecemerlangan Indonesia Bukan Satu Kebetulan

Kejayaan Indonesia melangkah ke final untuk berhadapan dengan Iran itu bukan sekadar cerita nasib atau lonjakan satu generasi, tetapi hasil perancangan jangka panjang yang sistematik.

Karisma itu dibina dengan falsafah permainan jelas, disiplin profesional dan pendedahan berterusan kepada standard futsal antarabangsa.

Jika dahulu Indonesia dilihat sebagai pasukan berbakat tetapi tidak konsisten, kini mereka tampil lebih teratur, pantas membuat keputusan dan kuat dari sudut mental.

Mari kita lihat satu persatu keadaan yang membuatkan pemain skuad futsal Indonesia di dapat menyajikan corak permainan bertenaga terutamanya sejak Kejuaraan Futsal ASEAN 2024, Sukan SEA 2025 dan Piala Asia Futsal 2026.

1) Bukan hasil kerja setahun dua

Kebanyakan pemain bermain secara automatik hasil falsafah permainan yang sistematik dan konsisten sejak mula dibimbing Kensuke Takahashi bermula April 2018.

Corak permainan yang sudah sebati dengan sebahagian besar pemain.

Kensuke merintis blueprint dalam memberikan fokus utama kepada pembangunan akar umbi, disiplin taktikal dan fizikal serta mentaliti profesional.

Meninggalkan pasukan selepas berbakti selama tiga tahun setengah, Indonesia sempat dibimbing Mohammed Hashemzadeh dan Marcos Sorato.

Hashemzadeh hanya setahun bersama pasukan dan jodoh Sorato juga tidak lama menyebabkan Hector Souto dibawa masuk.

Benih DNA yang disemai Kensuke jelas cukup matang sewaktu Souto hadir dan membuatkan barisan pemain sudah ‘masak’ dengan setiap kemahuan dan keperluan pengendali kelahiran Sepanyol tersebut.

Selain aspek taktikal dan fizikal, mental ‘tidak mahu menyerah’ cukup terserlah dijelmakan oleh setiap pemain Indonesia setiap kali beraksi.

2) Kekuatan mental pemain

Pemain skuad kebangsaan Indonesia beruntung kerana Federasi Futsal Indonesia (FFI) kerap mengadakan perlawanan menentang pasukan ternama dunia terutamanya pada 2025, lebih tepat lagi selepas Micheal Sianipar dilantik sebagai ketua umum.

Sebagai contoh pada penghujung 30 Januari hingga 2 Februari 2025, FFI menganjurkan kejohanan jemputan 4 Nations World Series dengan kehadiran Argentina, Jepun dan Arab Saudi.

Bayangkan bagaimana mental dan fizikal barisan pemain Indonesia diuji dengan peluang beraksi menentang juara Piala Dunia 2016, Argentina serta gergasi Asia, Jepun.

Selain itu beberapa pemain Indonesia juga turut diberikan peluang beraksi bersama kelab luar dan ranking lebih tinggi.

Evan Soumilena yang terpaksa diketepikan pada edisi kali ini kerana baharu sahaja menjalani pembedahan bagi merawat kecederaan Meniscus pernah beraksi di Portugal.

Tiada Jalan Pintas: Ini Cara Indonesia Membina Skuad Layak Ke Final Piala Asia Futsal 2026
Wendy Brian. Kredit Foto: 2026 Asian Football Confederation (AFC)

Wendy Brian Ick yang beraksi cukup cemerlang di Piala Asia Futsal 2026 pula turut pernah beraksi pasukan Royal Thai Navy dalam saingan Liga Futsal Thailand.

Pemain muda, Israr Megantara mendapat pendedahan berguna di Sepanyol untuk menjalani sesi latihan bersama Burela Futsal.

Manakala, Reza Gunawan yang menganggotai skuad Indonesia B menjuarai CFA International Men’s Futsal Tournament 2025 telah dibawa naik ke skuad utama.

Ia secara tidak langsung membentuk daya tahan mental yang jauh lebih tinggi dalam kalangan pemain Indonesia. Berdepan lawan bertaraf dunia memaksa mereka keluar daripada zon selesa, belajar mengurus tekanan, membaca tempo permainan, serta menyesuaikan diri dengan intensiti yang jauh lebih pantas.

Pendedahan seperti ini menjadikan pemain Indonesia lebih tenang ketika berdepan situasi getir di pentas besar. Mereka tidak mudah panik apabila ketinggalan, lebih yakin memegang bola di bawah tekanan,dan berani mengambil keputusan kritikal dalam keadaan memerlukan untuk bertindak cepat.

Hakikatnya, kekuatan mental inilah yang jelas kelihatan ketika mereka menumbangkan Jepun di separuh akhir. Ia bukan sekadar berkaitan keberanian, tetapi keyakinan yang telah ditempa melalui pengalaman bertarung dengan yang terbaik di dunia.

3) Penjagaan nutrisi dan waktu rehat sebagai pemain pro diterapkan

Dalam melahirkan pemain yang mampu bersaing di peringkat tertinggi, kelab domestik sendiri memainkan peranan penting yang nyata membantu pasukan kebangsaan.

Kebanyakan kelab di Indonesia beroperasi secara profesional sepenuhnya, dengan majoriti pemain berstatus sepenuh masa.

Walaupun mungkin ada pemain yang bekerja tetapi pelepasan diberikan kepada mereka untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada pasukan masing-masing. Ini membolehkan pasukan menjalani latihan dua kali sehari.

Struktur seperti ini memberi ruang kepada pemain untuk berehat secukupnya, menjaga pemakanan dengan lebih sistematik, serta memulihkan badan secara optimum sebelum sesi seterusnya.

Penekanan terhadap nutrisi, tidur dan pemulihan bukan lagi pilihan tetapi budaya dalam ekosistem futsal mereka.

Situasi ini berbeza dengan realiti di Malaysia, di mana ramai pemain masih perlu bekerja pada waktu siang dan hanya berlatih pada sebelah malam.

Beban komitmen seperti ini menyukarkan mereka mencapai tahap profesional sebenar dari segi kecergasan, fokus mahupun perkembangan teknikal.

Program strength & conditioning  turut diberi keutamaan oleh hampir semua kelab juga telah merintis kepada pemain Indonesia yang dilihat cukup ‘kuat’ untuk bersaing dengan pemain ternama Asia.

4) Syarat ketat terhadap pemain import dan jurulatih dalam Liga Pro Indonesia

Selain pembangunan pemain tempatan, kualiti Liga Futsal Indonesia turut diperkukuh melalui dasar pengambilan pemain import yang lebih teratur dan kompetitif.

Setiap kelab hanya dibenarkan membawa masuk pemain dari negara yang berada di ranking lebih tinggi berbanding Indonesia, selain mewajibkan mereka memiliki caps antarabangsa seperti dilakukan sebelum ini.

Pendekatan ini memastikan kehadiran pemain import benar-benar memberi nilai tambah, bukan sekadar melengkapkan kuota.

Malah, tindakan ini membantu meningkatkan standard permainan liga, memindahkan ilmu kepada pemain tempatan, serta mewujudkan persekitaran persaingan yang lebih berkualiti.

Dalam usaha memantapkan lagi pasukan yang bertanding, hanya jurulatih yang memiliki lesen kejurulatihan tahap 3 AFC sahaja dibenarkan untuk menjadi ketua jurulatih dalam Liga Pro Indonesia.

Indonesia
Kredit Foto: 2026 Asian Football Confederation (AFC)

Barisan Pemain Indonesia dalam Piala Asia Futsal 2026

Goleiro: Muhammad Nizar Nayaruddin – 17 Februari 1995 (31)

Goleiro: Ahmad Habiebie – 21 Jun 2000 (26)

Muhammad Rizki Xavier – 15 Januari 1999 (27)

Mochammad Iqbal Iskandar Rahmatullah – 23 Ogos 1995 (31)

Israr Megantara – 30 Oktober 2004 (22)

Samuel Eko – 16 Mei 1998 (28)

Syauqi Saud Lubis – 29 Januari 1997 (29)

Ardiansyah Nur – 27 Ogos 1997 (29)

Rio Pangetsu Putra – 30 Ogos 1997 (20)

Firman Ardiansyah – 9 Februari 2000 (26)

Reza Gunawan – 25 Oktober 1998 (28)

Dewa Rizki Amanda – 16 Januari 2001 (25)

Wendy Brian Lindrey – 14 Oktober 1999 (27)

Yogi Saputra – 17 Jun 2003 (23)