Dilema di lapangan terbang selalunya berkisar tentang berat beg yang berlebihan atau beratur panjang di imigresen.

Namun, bagi seorang individu baru-baru ini, pengalamannya di KLIA jauh lebih mendebarkan bukan kerana pasport hilang, tetapi kerana ‘hutang’ yang ditinggalkan secara tidak sengaja.

Akaun Tidak Dipautkan, Tunai Pula Tak Ada

‘Dilepaskan’ Sebab Kejar Flight, Pelancong China Gigih Cari Pemandu Grab Nak Bayar Balik
Sumber Gambar: TikTok

Kejadian bermula seawal jam 6 pagi. Dalam keadaan tergesa-gesa untuk mengejar penerbangan jam 9 pagi, penumpang ini secara tidak sengaja memesan Grab menggunakan akaun yang tidak dipautkan dengan Alipay atau kad kredit.

Masalah bermula apabila sistem menetapkan kaedah bayaran tunai, sedangkan penumpang tersebut langsung tidak membawa wang tunai pada waktu itu.

Usaha Cari Duit Tunai Gagal

Setibanya di lapangan terbang, suasana menjadi cemas. Penumpang ini cuba meminta bantuan orang sekeliling dan mencari tempat untuk menukar wang, namun nasib tidak menyebelahinya. Jam terus berdetak, dan waktu berlepas semakin hampir.

Dalam keadaan buntu dan serba salah kerana jumlah tambang yang bukan kecil, pemandu Grab tersebut melakukan sesuatu yang mengejutkan.

“Tak apa, pergi je. Nanti awak terlepas flight.”

Hanya dengan ayat ringkas itu, pemandu tersebut membenarkan penumpangnya pergi tanpa membayar satu sen pun, demi memastikan urusan perjalanan orang lain tidak terganggu.

Misi Mencari ‘Wira’ Grab

Kini, penumpang tersebut sedang giat mencari pemandu budiman itu melalui bantuan netizen. Baginya, budi yang diterima terlalu besar untuk dibiarkan begitu sahaja.

“Saya benar-benar ingin membayarnya semula. Dia mudahkan urusan saya, saya tak nak biarkan dia rugi,” katanya.

Dalam kemas kini terbaharu, seorang individu telah berhubung dengan pemandu berhati mulia itu dan memberikan wang perjalanan yang tidak diberikan pada tempoh hari kejadian berjumlah RM152.31.

‘Dilepaskan’ Sebab Kejar Flight, Pelancong China Gigih Cari Pemandu Grab Nak Bayar Balik
Sumber Gambar: TikTok

Dari sisi pemandu tersebut, dia sudah pun memaklumkan perkara tersebut kepada pihak Grab dan sedia melepaskannya kerana penumpang terbabit menunjukkan kesungguhan untuk melakukan pembayaran walaupun waktu pelepasan sudah hampir.

Pemandu berkenaan turut perasan sejarah transaksi memperlihatkan pelancong itu berjaya melakukan transaksi menggunakan Alipay sebelum ini namun pada hari itu tertukar dengan akaun lain.

Untuk makluman, pihak Touch ‘n Go telah bekerjasama dengan Alipay dalam memudahkan pembayaran tanpa sempadan di antara Malaysia dan China sejak tahun 2023 lagi. Dengan integrasi dua pihak ini, sepatutnya orang ramai boleh melakukan transaksi dengan mudah.