Ketua jurulatih Persib Bandung, Bojan Hodak dilihat terpaksa bersemuka dengan penyokong yang mencetuskan kekecohan dan menceroboh masuk ke dalam padang.

Petugas keselamatan stadium segera bertindak ketika melihat penyokong mulai mengganas dan ada yang cuba menyerang pengadil.

Video yang lain menunjukkan Bojan Hodak dan bekas bintang PSG, Layvin Kurzawa turut terpaksa campur tangan menghalang penyokong daripada bertindak lebih agresif.

Bojan meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan segelintir penyokong Persib Bandung yang mencetuskan kekecohan selepas perlawanan baru-baru ini.

Insiden tersebut berlaku sejurus tamat aksi menentang Ratchaburi FC dalam saingan Asia di Stadium Gelora Bandung Lautan Api.

Walaupun Persib berjaya mencatat kemenangan dalam perlawanan itu, mereka tetap gagal mara ke pusingan seterusnya berdasarkan agregat keseluruhan.

Menurut Hodak, kira-kira 100 individu telah memasuki kawasan padang dan bertindak agresif, sekali gus menjejaskan imej kelab.

Beliau menegaskan bahawa tindakan segelintir pihak itu boleh mengundang hukuman atau denda daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Hodak turut menyatakan bahawa majoriti penyokong telah memberikan sokongan yang baik sepanjang perlawanan, namun perbuatan sekumpulan kecil itu merosakkan suasana serta memberi kesan negatif kepada pasukan.

Beliau berharap kejadian seumpama ini tidak berulang dan semua penyokong dapat menunjukkan sokongan secara lebih berdisiplin demi kebaikan kelab pada masa hadapan.