Ketua jurulatih Persib Bandung, Bojan Hodak tidak langsung bermasalah membenarkan anaknya, Luka Jordy Hodak untuk mewakili skuad negara sekiranya mendapat peluang.

Berusia 18 tahun dan bermain di posisi tengah, Luka kini berada di tanah kelahiran bapanya, Zagreb Croatia untuk bersama skuad remaja NK Trnje.

Sekiranya mempamerkan aksi cemerlang di sana, Luka berpeluang untuk mencuri tumpuan barisan kejurulatihan untuk menyenaraikannya dalam skuad negara bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia Bawah 20 Tahun (B-20) 2027 yang dijadualkan berlangsung pada Ogos nanti.

Bojan Hodak Tiada Masalah Beri Keizinan

“Luka kini beraksi secara tetap dengan kelabnya, NK Trnje, yang juga merupakan kelab di mana saya memulakan kerjaya profesional saya,” ujar Bojan menurut sumber laporan New Straits Times.

“Isteri saya adalah warga Malaysia dan Luka pula dilahirkan di Malaysia. Dia memiliki pasport Malaysia, dan sekiranya dia menerima panggilan daripada skuad Malaysia, kami akan membenarkannya menyertai kem latihan pusat.”

“Kami tiada sebarang masalah untuk dia mewakili Malaysia.”

Sementara itu perkembangan lain mengenai Luka, Bojan mendedahkan anaknya selepas ini akan berkelana pula ke Sepanyol untuk melanjutkan pengajian sekali gus beraksi untuk sebuah kelab di sana.

“Kami menyasarkan dia bermain bola sepak secara tetap supaya dia dapat terus mengembangkan bola sepaknya.”

Bakat pemain warisan seperti Luka Jordy Hodak perlu diperhatikan dengan lebih serius kerana sekiranya dia mampu beraksi dengan baik, ia dapat menjadi nilai tambah cukup berkualiti buat skuad negara.