Aksi Persib Bandung menentang Ratchaburi dalam saingan AFC Champions League 2 pada Rabu lalu berakhir dengan kontroversi selepas penyokong tuan rumah mencetuskan kekecohan.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Gelora Bandung Lautan Api itu menyaksikan hampir 100 penyokong menceroboh masuk ke dalam padang.
Ia sebagai tanda tidak berpuas hati dengan pengadil perlawanan, Majeed Mohammed Al Shamrani dari Arab Saudi.
Keadaan itu menyebabkan ketua jurulatih, Bojan Hodak dan rekrut baharu pasukan, Laywin Kurzawa serta pemain Persib Bandung yang lain turut terpaksa campur tangan menghalang penyokong daripada bertindak lebih agresif.
Situasi tersebut bukan sahaja mencetuskan suasana tegang di atas padang, malah turut memberi kesan secara langsung kepada pemain Ratchaburi.

Pemain Ratchaburi Dedah Pengalaman Ngeri
Pemain sayap mereka, Jaroensak Wonggorn kemudiannya tampil berkongsi pengalaman dilalui pasukan itu menerusi satu hantaran di Facebook peribadinya.
Menurut Jaroensak, mereka berdepan pelbagai tindakan agresif daripada penyokong tuan rumah sejak dari awal lagi.
“Terima kasih kepada semua atas keprihatinan anda. Semua dalam pasukan kini selamat,” ujar beliau mendedahkan perkembangan terkini sebaik sahaja insiden tersebut selesai.
“Namun, apa yang berlaku dalam perlawanan itu sangat buruk.”
“Terdapat batu, bata, botol air dan bunga api yang dibaling ke arah pemain bola sepak ketika kami sedang melakukan sesi pemanasan badan.”
“Malah, penyokong kami juga berisiko terkena balingan tersebut ketika sedang duduk di tempat masing-masing.”
“Syukur, tiada siapa yang mengalami kecederaan serius dan kami berjaya melaluinya dengan selamat.”
“Terima kasih kepada semua yang melalui detik sukar ini bersama-sama. Ratchaburi FC,” tambah beliau lagi.
Bekalan tiga gol yang dibawa pada perlawanan pertama di Ratchaburi Stadium sudah cukup buat skuad kendalian Woorawoot Srimaka itu.
Ketika aksi kedua, mereka tewas 0-1 hasil jaringan tunggal Andrew Jung tetapi ia sudah memadai untuk membawa Ratchaburi ke peringkat suku akhir bagi bertemu kelab Jepun, Gamba Osaka.