Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dilaporkan berjaya mendapatkan khidmat pemain pertahanan dari Korea Selatan bagi menghadapi separuh masa kedua saingan Liga Malaysia musim ini dan juga saingan AFC Champions League (ACL) Elite.
Perkara ini dilaporkan oleh poortal sukan Thailand iaitu SNE Sports dimana pemain yang dimaksudkan ialah Park Jun-heong yang beraksi bersama Ratchaburi FC dalam saingan Liga Thailand musim 2023/24.
Baca Juga:
- Liga Super 2024/25: JDT Mudah Belasah Negeri Sembilan
- Undian Piala FA 2024/2025: JDT Mungkin Jumpa Selangor Di Final
- Tim Cahill Kagum Dengan Fasiliti Yang Dimiliki JDT
Kontrak Jun-heong bersama Ratchaburi akan tamat pada 30 Jun ini dan beliau bakal melengkapkan perpindahan ke juara bertahan Liga Super itu selepas semua proses selesai.
Pemain berusia 31 tahun itu mempunyai pengalaman beraksi dalam saingan Liga Portugal dan kembali bermain di Korea Selatan dengan Suwon Samsung Bluewings serta Kitchee di Hong Kong. Terbaru beliau beraksi dengan Ratchaburi FC dalam Liga Thai sejak musim 2021/22 hingga sekarang.
Ketika ini, JDT mempunyai dua pemain import di bahagian pertahanan iaitu Jordi Amat dan Shane Lowry sambil beberapa pemain tempatan lain seperti Feroz Baharudin, Junior Eldstal dan juga Shahrul Saad.
Terdapat khabar angin yang mengatakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ingin menghapuskan kuota bagi pemain luar bermula saingan musim 2024/2025.
Ini membolehkan skuad kendalian Hector Bidoglio itu membawa masuk lebih ramai pemain import untuk digunakan dalam saingan peringkat Asia meskipun tidak dibenarkan di peringkat liga domestik.
Situasi ini pernah terjadi dahulu sewaktu Liga Malaysia mengamalkan had pemain import sebanyak dua orang. Ketika itu, kelab seperti Selangor FC dan Kelantan FC dibenarkan mengambil lagi dua pemain import tambahan untuk penyertaan mereka di Piala AFC.