Kim Na Eun, 17, telah melakar sejarah sebagai pelajar Korea Selatan pertama di Malaysia yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang A+ dalam kesemua 10 mata pelajaran yang didudukinya bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, termasuk bagi subjek Bahasa Malaysia.

Kegembiraan tersebut dikongsi oleh bapanya, Kim Taeho, yang mengakui mereka sekeluarga seakan tidak percaya sewaktu berkunjung ke SMK St Columba pada Selasa lalu untuk mengambil slip keputusan tersebut.

“Saya terus menangis sebaik sahaja dia memberitahu keputusannya. Kami sama sekali tidak menyangka dia akan mendapat keputusan A+ bagi semua subjek, terutama Bahasa Malaysia, memandangkan dia pernah bergelut untuk mempelajari bahasa tersebut sewaktu di sekolah rendah,” ujar beliau kepada pihak *The Borneo Post*.

Na Eun menduduki peperiksaan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, dan Pengetahuan Injil.

Keluarga ini mula menetap di Miri sejak tahun 2013 ketika Na Eun baru berusia lima tahun, di mana dia memulakan pendidikan awalnya di SK St Columba sebelum menyambung pengajian ke peringkat menengah di SMK St Columba.

Taeho, yang merupakan seorang mahaguru Taekwondo bagi kanak-kanak berkeperluan khas, mendedahkan bahawa anak perempuannya itu tidak bergantung kepada kelas tuisyen di luar sekolah. Beliau menyifatkan disiplin sukan sebagai kunci kejayaan anaknya itu.

“Anak saya merupakan pemegang tali pinggang hitam Dan keempat (Kukkiwon) dalam sukan Taekwondo dan berlatih setiap hari.

Dia juga aktif menyertai kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa itulah sebabnya kami berasa sangat terkejut dan bangga dengan pencapaiannya ini,” tambah beliau.

Bagi Na Eun sendiri, dia mengakui latihan fizikal dan mental dalam sukan Taekwondo banyak membantunya dalam mengharungi tekanan serta cabaran sepanjang musim peperiksaan SPM.

Mengenai perancangan masa hadapannya, Na Eun berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat A-Level sebelum mengejar impiannya dalam bidang pergigian.

“Kini, setelah keputusan SPM diumumkan, fokus saya adalah untuk mengambil A-Level sebelum mendalami bidang pergigian.

Namun, sebelum itu, keutamaan saya adalah memberikan tumpuan sepenuhnya kepada latihan bagi menghadapi Festival Sukan Kebangsaan Korea ke-107 yang akan berlangsung pada 17 Oktober ini di Pulau Jeju, Korea Selatan,” jelasnya.

Sumber