Bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Itulah yang dirasai oleh seorang wanita yang pada mulanya cuba meraih simpati ramai selepas mendakwa akaun banknya disekat tanpa alasan yang jelas.

Namun, belum sempat air mata kering, ‘detektif tak bertauliah’ di media sosial terlebih dahulu membuat kerja gila membongkar sisi gelap wanita tersebut yang rupa-rupanya mempunyai sejarah hitam sebagai seorang penipu di dalam talian.

Kisahnya bermula bagaimana dia mengadu di Threads tentang permasalahan bayaran gaji yang sepatutnya boleh diterima menerusi akaun peribadi telah disekat.

“Jadi, gaji saya kena tahan dan syarikat ambil berapa lama masa untuk pegang tu? Sebab bank saya kena sekat dan tak dapat terima duit dalam tu jadi yang saya tahu gaji saya nanti kena tahan ke boleh minta syarikat pindahkan gajinya ke akaun bank lain?,” soalnya.

Seorang netizen langsung mengaitkan ia dengan kes penipuan yang menjadikan akaun dibekukan secara mengejut oleh pihak bank.

Pada awalnya, dia menafikan tentang penglibatan dalam kes penipuan kerana pada hari sebelumnya masih boleh membeli belah dan menaiki Grab namun disekat secara tiba-tiba selepas itu.

Namun, seorang pengguna Threads langsung membongkar sejarah hitam wanita itu apabila terdapat rekod yang berkaita dengan si tuan badan pada tahun lalu.

Difahamkan wanita itu telah melakukan penipuan dengan menyenaraikan penjualan iPad miliknya di dalam talian dan menjerat mangsa naif.

Malah, seorang individu telah meminta orang ramai untuk berhati-hati  dengan suspek kerana telah menjadi mangsa penipuan jualan iPad tersebut.

Wanita Mengadu Akaun Kena 'Freeze', Sekali Rekod Scammer Pula Terbongkar
Sumber Gambar: Threads

Apa yang menguatkan lagi dakwaan berkenaan selepas terdapat tangkap layar dua hantaran penyenaraian barangan beserta gambar yang sama termasuk penerimaan bayaran ansuran.

Wanita Mengadu Akaun Kena 'Freeze', Sekali Rekod Scammer Pula Terbongkar
Sumber Gambar: Threads

Selepas disemak nombor telefon wanita itu pula, ternyata telah dilabelkan sebagai berpotensi tinggi sebagai penipu dengan nama diberi sebagai scammer iPad dan terdapat satu aduan yang dilaporkan.

Sudah terbentang bukti, barulah dia mengakui pernah melakukan penipuan dan meminta orang ramai untuk tidak mengungkit kisah lamanya.

Di samping itu, dia masih berkeras’ mahu mendapatkan akses kepada gajinya kerana kini sudah mempunyai karier dan tidak melakukan perkara terkutuk itu lagi.