“Bumi dipijak, langit dijunjung namun pepatah luhur ini nampaknya gagal dihadam oleh segelintir majikan asing yang selesa mengaut keuntungan di bumi Malaysia.
Terbaharu, sikap biadap dan keangkuhan seorang pihak atasan dari syarikat antarabangsa memakan diri apabila beliau tergamak melabel pekerja tempatan persis ‘binatang yang suka berehat’ gara-gara jumlah cuti umum di negara ini.
Menerusi Threads, mangsa yang juga merangkap pekerja di syarikat terbabit telah berkongsi sebuah tangkap layar yang memperlihatkan mesej berbaur hinaan di dalam kumpulan sembang bagi agensi.
Bos itu didakwa mengatakan “Khinzir semua ni banyak rehat. 1 bulan sampai 10 hari cuti”.
Difahamkan cuti yang dimaksudkan tersebut merujuk kepada cuti umum rasmi yang termaktub di negara Malaysia.

Tindakan tersebut telah mencetuskan kritikan hebat daripada pelbagai pihak yang menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai melampaui batas norma profesional, tanpa mengambil kira perbezaan budaya.
Rata-rata berpendapat bahawa perilaku sedemikian tidak seharusnya dikompromi, terutamanya dalam persekitaran syarikat multinasional.
Malah, terdapat cadangan agar isu ini dibawa ke saluran dalaman yang lebih tinggi untuk tindakan disiplin yang sewajarnya.
Selain mempertahankan peruntukan cuti tersebut sebagai sebahagian daripada budaya tempatan dan keperluan untuk keseimbangan kerjaya-kehidupan (work-life balance), perdebatan ini turut menonjolkan wujudnya dwi-standard dalam persekitaran kerja global.
Rata-rata mempertikaikan mengapa cuti perayaan tempatan dikritik, sedangkan percutian panjang di negara-negara Barat seperti Krismas dan Tahun Baharu sering diterima tanpa sebarang masalah.