Pemandu yang mengabaikan isyarat lalu lintas dan lintasan pejalan kaki boleh berdepan penalti yang menjejaskan lesen memandu mereka, termasuk penggantungan lesen, petik New Straits Times.

Susulan dua insiden tular baru-baru ini yang melibatkan zon sekolah dan lintasan belang (zebra crossing), Pengarah JPJ Negeri Johor, Zulkarnain Yasin, berkata jabatan itu mempunyai kuasa untuk memanggil pesalah bagi merekodkan kenyataan di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Peruntukan ini membolehkan pegawai penguat kuasa meminta pemandu memberikan maklumat atau penjelasan semasa siasatan. Jika didapati bersalah, saman akan dikeluarkan,” katanya kepada New Straits Times.

Beliau berkata pesalah boleh dikenakan kompaun sehingga RM300, dan jika dibawa ke mahkamah, boleh berdepan denda sehingga RM2,000.

“Saya ingin menasihati semua pengguna jalan raya, sama ada penunggang motosikal mahupun pemandu kereta, supaya mematuhi semua isyarat lalu lintas yang telah ditetapkan dengan tegas,” katanya.

Zulkarnain menegaskan bahawa kegagalan mematuhi lampu isyarat adalah kesalahan serius kerana ia menyumbang kepada mata demerit di bawah sistem Kejara.

Kejara ialah sistem mata demerit yang merekodkan kesalahan trafik dan membolehkan pihak berkuasa menggantung atau membatalkan lesen memandu.

Zulkarnain memberi amaran bahawa pemegang lesen yang mengumpul 20 atau lebih mata demerit berisiko digantung atau dibatalkan lesen memandu jika kesalahan terus dilakukan.