Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) menyatakan insurans perjalanan standard tidak akan memberikan perlindungan yang mencukupi kepada rakyat Malaysia di zon konflik, memandangkan kerugian berkaitan perang dan risiko kecederaan dikecualikan secara umum.
Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Chua Kim Soon berkata, kejadian yang dikaitkan dengan peperangan, termasuk pembatalan perjalanan, kelewatan, malah pemindahan kecemasan, adalah dikecualikan sama sekali di bawah polisi standard, petik The Star.
“Peperangan adalah pengecualian standard. Penanggung insurans Malaysia hampir secara keseluruhannya mengecualikan tuntutan yang timbul daripada peperangan, konflik bersenjata, tindakan ketenteraan, perang saudara atau pemberontakan,” katanya.
Tambah beliau, pengecualian tersebut terpakai tanpa mengambil kira sama ada pengembara itu secara sengaja memasuki atau terus berada di zon konflik.
Beliau menegaskan bahawa klausa sedemikian telah dinyatakan dengan jelas dalam dokumen polisi insurans perjalanan.
Beli dan faham insurans perjalanan
Chua menggesa pemegang polisi supaya memberi perhatian teliti terhadap pengecualian semasa membeli insurans perjalanan, di samping memahami manfaat perlindungan yang ditawarkan.
“Orang ramai cenderung melihat apa yang dilindungi, tetapi mereka juga mesti faham apa yang tidak dilindungi. Salah satu pengecualian standard dalam semua polisi perjalanan adalah zon konflik aktif,” katanya.
Ditanya mengenai polisi bagi pengembara yang telah membeli insurans sebelum ketegangan memuncak dan kemudiannya memulakan perjalanan tanpa menyedari mereka berada di zon perang, Chua berkata pengecualian itu tetap terpakai kepada mereka yang terjebak dalam situasi sedemikian.
“Jika mereka tanpa sengaja melancong ke kawasan yang sedang mengalami konflik, manfaat di bawah polisi tidak lagi terpakai. Sebarang kecederaan yang dialami akibat langsung atau tidak langsung daripada peperangan—seperti tercedera semasa melarikan diri daripada keganasan—adalah dikecualikan.”
Chua berkata tuntutan yang tidak berkaitan dengan konflik tersebut mungkin masih boleh dipertimbangkan.
“Sebagai contoh, jika timbul masalah kesihatan yang tidak berkaitan dengan peperangan, maka ia mungkin masih dilindungi. Perkara yang sama berlaku untuk insiden seperti kehilangan bagasi yang tidak mempunyai kaitan dengan konflik tersebut.”
Mengenai sama ada penanggung insurans sedang menyemak semula perlindungan atau memperkenalkan polisi khas untuk destinasi berisiko tinggi, Chua berkata bahawa risiko perang secara amnya tidak boleh diinsuranskan.
“Peperangan adalah risiko yang terlalu besar dan tidak menentu untuk diletakkan harga oleh penanggung insurans. Itulah cabaran terbesarnya. Bagaimana anda mahu meletakkan harga pada peperangan?” katanya.
Chua menasihatkan pengembara untuk mengutamakan keselamatan dengan mengelakkan zon konflik sama sekali dan menyemak nasihat perjalanan rasmi yang dikeluarkan oleh Wisma Putra sebelum membuat sebarang perancangan.
Pastikan perlindungan perubatan mencukupi
Beliau juga menggesa pengembara untuk memastikan mereka mempunyai perlindungan perubatan yang mencukupi dan menyemak dengan syarikat penerbangan mengenai kemungkinan pilihan penangguhan atau tempahan semula jika melancong ke destinasi yang terjejas akibat konflik.
“Jika anda telah membeli polisi dan perlu membatalkannya, anda boleh menyemak dengan penanggung insurans anda tentang kemungkinan bayaran balik, tetapi ini adalah atas dasar ihsan (goodwill) dan bukannya mengikut kontrak. Akhir sekali, nasihat terbaik adalah mengelakkan kawasan tersebut jika boleh,” kata Chua.
Perunding insurans kanan, Leonard Tan, berkata insurans perjalanan biasanya tidak melindungi perjalanan ke destinasi di mana nasihat rasmi telah dikeluarkan supaya tidak melawat kawasan tersebut.
“Ini termasuk kawasan yang dilanda perang dan negara yang mengalami wabak penyakit. Apabila nasihat perjalanan telah dikeluarkan tetapi seseorang itu tetap memilih untuk pergi, maka ia adalah atas risiko mereka sendiri,” katanya.
Insurans perjalanan pelaburan berbaloi
Walau bagaimanapun, Tan berkata insurans perjalanan tetap merupakan pelaburan yang berbaloi apabila tiada sekatan sedemikian, kerana manfaatnya sering kali hanya disedari semasa berlakunya kejadian buruk.
Beliau menambah bahawa insurans perjalanan secara amnya melindungi bencana alam seperti banjir, gempa bumi, dan letusan gunung berapi di sesuatu destinasi.