Pakar ekonomi, Datuk Prof Nik Maheran Nik Muhammad menyatakan Malaysia disaran meneliti model insurans perlindungan kesihatan bertingkat, petik Berita Harian.
Model itu bagi memastikan skim insurans asas untuk mengurangkan kesan inflasi kos perubatan yang dicadang kerajaan tidak membebankan rakyat berpendapatan rendah.
Menurutnya, insurans seperti itu sudah dilaksanakan di negara Jepun dan Jerman.
“Model bertingkat ini terbukti lebih adil, bersasar dan realistik. Golongan berpendapatan rendah tidak terbeban dan kumpulan berpendapatan tinggi pula boleh menyumbang lebih kepada dana insurans,” katanya kepada Berita Harian.
Tambahnya lagi, menerusi model berkenaan golongan B40 boleh menerima perlindungan penuh dibiayai sepenuhnya kerajaan.
Sementara golongan M40 dan T20 pula membayar secara premium berdasarkan pendapatan masing-masing.
Cadang kerajaan lihat solusi insurans negara lain
Datuk Prof Nik Maheran menyarakan pihak kerajaan untuk melihat beberapa negara yang melaksanakan ‘skim insurans asas’ seperti Amerika Syarikat (AS) yang memperkenalkan Obamacare atau Affordable Care Act. Ia menggabungkan subsidi majikan dan kerajaan dengan pekerja diberi pilihan membeli pelbagai pelan insurans.
Sementara dii Singapura menggunakan sistem Medisave, Medishield Life dan Medifund. Ia menyediakan simpanan wajib untuk rawatan perubatan, perlindungan penyakit kronik serta dana bantuan perubatan bagi mereka yang tidak mampu.
“Jika di Malaysia, caruman kesihatan ini perlu diasingkan daripada simpanan persaraan supaya tidak menjejaskan KWSP. Akaun khas kesihatan boleh diwujudkan, sama seperti CPF di Singapura,” katanya.
Dalam masa sama, bagi memastikan golongan M40 mendapat manfaat yang sama, beliau menyarankan skim perlindungan sedia ada seperti MySalam dan Skim Peduli Kesihatan B40 (PeKa) diperluaskan.