Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan membuat kemunculan khas dalam dunia lakonan menerusi filem terbaharu, ‘The Keris’.
Memetik hantaran Facebook Urus Setia Penerangan Darul Aman – UPDA, penglibatan beliau penglibatannya dalam filem itu bertujuan menyuntik semangat kepada generasi muda khususnya yang terlibat dalam seni silat.
“Ini pengalaman baru dalam hidup saya. Watak saya sebagai seorang panglima yang datang memberi semangat kepada pesilat-pesilat, termasuk seorang pesilat yang akan bertarung dengan jaguh dari luar negara.
“Semangat kepahlawanan Hang Tuah itu dijelmakan dalam The Keris, peranan saya adalah membawa semangat itu kepada anak-anak muda yang terlibat dalam seni silat. Nak tengok saya berlakon, jom tonton The Keris,” katanya.
Menurutnya lagi, filem berkenaan mengadaptasi perjuangan Laksamana Hang Tuah sebagai pahlawan Melayu ulung Nusantara dan diharap mampu memartabatkan seni serta budaya Melayu.
“Melalui filem ini kita harap generasi muda dapat mempelajari sejarah, budaya dan peradaban yang telah lama wujud di negara ini. Selain mengangkat seni dan budaya Melayu, ia dijadikan lakon layar untuk tontotan generasi muda.
“Banyak budaya dan seni diperturunkan kepada generasi muda melalui pendidikan dan perfileman, menerusi filem pun ada pengaruh negatif, jadi lebih baik kita gunakan cara sama untuk suburkan perkara positif (budaya) untuk generasi akan datang,” katanya.
Tidak hadapi masalah pertama kali berlakon filem
Sanusi berkata, walaupun ia pengalaman baharu dalam hidupnya, beliau tidak berdepan kesukaran hasil bimbingan kru produksi.
“Saya beri komitmen sebab mahu angkat budaya Melayu, pengambaran dibuat pada tahun lepas. Saya dapat panduan daripada penerbit dan kru, jadi tidaklah kaku sangat berlakon. Saya cuba hayati watak dan faham mesej yang hendak disampaikan.
“Kehidupan saya pun ibarat pementasan cuma saya pentaskan perkara yang benar, tak ada skrip. Filem pula ada skrip dan jalan cerita, beza dengan kehidupan kita yang tiada jalan cerita. Filem semuanya dirancang dari awal sampai akhir, hero menang, saya rasa ending saya pun menang jugalah,” katanya.
Berlakon secara percuma
Beliau turut memaklumkan penampilannya dalam filem tersebut dilakukan tanpa sebarang bayaran.
“Ini percuma sahaja, tiada bayaran, sekadar cuba-cuba,” seloroh Sanusi.
Dalam masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan untuk kembali berlakon sekiranya ditawarkan watak yang bersesuaian.
“Kalau ada skrip dan watak yang baik, saya sedia pertimbangkan,” katanya lagi.
The Keris bakal ditayangkan di pawagam pada 2 Julai ini. Filem itu menampilkan Dato’ Jalaluddin Hassan, Raja Azrey Raja Kamaruzzaman dan Syazlie Syazz.