Sebuah gambar yang dimuat naik oleh halaman Facebook rasmi Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar bersama-sama dengan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah menarik perhatian warganet.
Tidak pasti mengapa gambar ini menjadi tarikan pengguna maya, tetapi melalui pemerhatian The Vocket, kebanyakan warganet mengaitkan beberapa siri episod ‘gurauan nakal’ Sanusi terhadap pasukan Johor Darul Ta’zim atau JDT.
Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sebelum ini banyak membuat beberapa kenyataan pedas terhadap JDT. Kenyataan itu kemudiannya turut dibalas oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik pasukan JDT.
Beberapa episod gurauan nakal diantara dua individu ini dapat dilihat apabila kedua pasukan bertemu. Sanusi pernah juga menyuarakan rasa tidak puas hati apabila pasukannya tewas di tangan JDT. TMJ juga pernah menegur Sanusi agar menjaga sikap dan keperibadian beliau sebagai seorang MB.
Walaupun secara dasarnya kelihatan pertelingkahan kedua tokoh ini dilihat seolah serius, namun peminat bola sepak tidak mengambil pusing mengenai hal tersebut. Ini dapat dilihat dengan beberapa gurauan oleh netizen di laman Facebook Sultan Ibrahim.
Sebahagian daripada mereka meminta agar Sultan Johor ‘merotan’ Sanusi yang selalu mengata JDT. Manakala sebahagian daripada mereka berkata bahawa renungan tajam Sultan Johor itu buat MB Kedah jadi kaku.
“Rotan dia Tuanku.biasaaa dia nii,” kata seorang netizen. “Ni dia orgnya tuanku..yg selalu kutuk team jdt ni.. tau dia cuak.. haha,” komen seorang pengguna Facebook. “Ni Tuanku..yang asyik bahan anak Tuanku dengan JDT..suh dia ketuk ketampi.. Hahaha,” tulis seorang lagi netizen sambil disambut dengan emoji ketawa.
Untuk rekod, gambar itu diambil sewaktu Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 di Istana Negara, Kuala Lumpur, pada 29 November 2022 yang lalu. Difahamkan bahawa mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh DYMM Yang diPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Selain kehadiran Menteri Besar Kedah, turut kelihatan Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi turut mengiringi Sultan Johor ke mesyuarat tersebut.