Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencadangkan tebing terusan di Sungai Korok perlu ditinggikan, serta ditanam pohon buluh madu.
Cadangan itu bagi bagi mengurangkan risiko kemalangan susulan kejadian tragis yang telah meragut nyawa enam sekeluarga baru-baru ini, petik Harian Metro.
Menurutnya, ia dilihat lebih menjimatkan kos dan mesra alam, lebih-lebih lagi di kawasan yang masih memiliki rizab tanah berdekatan terusan.

“Saya sudah melawat keluarga mangsa. Terusan itu di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan jalan tepinya lurus. Ada dicadangkan supaya diletak pagar penghadang.
“Tapi saya cadangkan juga supaya tanam buluh sebagai menjadi penahan dan landskap. Saya akan cadangkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai perkara ini,” katanya ketika ditemui selepas hadir Majlis Penyerahan Kunci Mutiara Bandar Puteri Jaya Fasa 7, di sini, hari ini.
Buluh lebih kukuh dan murah – Sanusi

Menteri Besar berkata lagi cadangan buluh madu dibuat kerana ia lebih kukuh menjadi penghadang. Pada masa sama harganya lebih murah berbanding pemasangan pagar penghadang.
“Kos pasang pagar penghadang sejauh satu kilometer (km) boleh cecah RM400,000. Kalau nak pasang sepanjang 15 km, maka sudah cecah RM6 juta.
“Jika tanam buluh kita tanam, mungkin lambat sikit hendak matang, tapi kalau pasang pagar penghadang pula, kalau tak ada duit, lagi lambat pasang atau mungkin tak jadi langsung,” katanya.
Difahamkan cadangan tersebut akan dikemukakan kepada JKR untuk pertimbangan teknikal mengikut kesesuaian lokasi.
“Ada kawasan tertentu yang tanahnya masih luas, sesuai tanam buluh. Tapi kalau kawasan sempit dan berisiko, mungkin kena pasang pagar penghadang juga.
“Jadi kita kena tengok keperluan dan kemampuan juga sebelum boleh pasang,” katanya.
Tambah Sanusi lagi, pihaknya turut mempertimbangkan pemasangan tembok di tepi tebing. Namun bergantung pada kewangan kewangan.
“Kalau buat tebing tanah di tepi jalan, dengan kelajuan 50 km sejam pun tak sempat jatuh sungai, dia akan berhenti dekat tembok tu. Itu pun salah satu cadangan yang kita akan pertimbang.
“Kita bagi cadangan berdasarkan keupayaan kewangan. Tapi memang ada keperluan. Ini untuk keselamatan orang ramai,” jelas Sanusi.