Menteri Besar Negeri Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan negeri berkenaan mengharapkan senarai barang bebas cukai di Pulau Langkawi ditambah sebagai daya penarik kehadiran pelancong ke pulau pelancongan itu.
Kereta mewah merupakan antara item yang Kedah mahu dikecualikan cukai.
Menurut beliau, cadangan mengembalikan status bebas cukai kepada Langkawi adalah bagi merancakkan semula ekonomi pulau itu, petik Buletin TV3.
Jelas beliau, antara punca kemerosotan tarikan Langkawi ketika ini adalah disebabkan kekurangan produk bebas cukai yang sebelum ini menjadi daya penarik utama pelancong ke pulau itu.
@mediaupda Sidang media YAB Menteri Besar Kedah sempena Majlis Aidilfitri Anak Kedah Di Perantauan #UrusSetiaPeneranganDarulAman #UPDA #mbkedah #sidangmedia
♬ original sound – Urusetia Penerangan Darul Aman – Urusetia Penerangan Darul Aman
“Apabila orang kaya mai (datang), beli kereta mahal dengan harga yang murah, dia berbelanja di Langkawi.
“Dia simpan kereta di situ pun berbayar. Dia bukan percuma. Jadi itu pun ada spillover (limpahan) pada sektor ekonomi di Langkawi. Bagilah kereta mahal itu dijual (di Langkawi),” katanya.
Pada masa sama Sanusi mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberikan maklum balas negara.
“Saya ucap terima kasih kepada PMX yang memberikan maklum balas segera pada isu yang dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dalam titah Istiadat Perasmian Pembukaan Dewan Undangan Negeri Kedah oleh Sultan Kedah dan juga pembahasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sudah dapat respon positif daripada PMX.
“Saya ada memaklumkan kepada Menteri Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) semasa Mesyuarat Majlis Kewangan Negara baru-baru ini.
“Beliau (Amir Hamzah) pun janji dengan saya hendak senaraikan beberapa item yang akan dimasukkan dan ditambah. Saya harap janganlah dikurangkan (item) sebab ini akan merugikan sektor lain pula,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Anak Kedah di Perantauan Tahun 2026, hari ini.
Tambah beliau, Langkawi bukan sahaja untuk rakyat Kedah. Sebaliknya pulau itu memberikan pulangan ekonomi kepada Kerajaan Persekutuan dalam sektor itu dengan keuntungan RM4 bilion hingga RM7 bilion setahun.