Isu barangan tiruan bukanlah perkara asing dalam industri fesyen, namun bagi usahawan terkenal Christy Ng, pendedahan kali ini benar-benar mengejutkan.

Beliau baru-baru ini membongkar taktik pengeluar di China yang bukan sahaja meniru rekaan begnya secara bulat-bulat, malah menjualnya pada harga yang hanya berbeza beberapa ringgit daripada produk asli.

Menerusi video yang dikongsikan, pemilik jenama terkemuka ini langsung pergi meninjau kedai-kedai replika yang menjual barangan gaya hidup di sebuah lokasi di negara tembok besar China.

Di dalam nada berseloroh, dia mengatakan jenamanya telah ‘mendunia’ kerana kini turut menjadi mangsa barangan tiruan yang  kebiasaannya hanya terjadi kepada jenama antarabangsa.

“Kita nak pergi melihat beg tiruan Christy Ng di China, haa Christy Ng dah mendunia tau. Di China pun ada beg tiruan kita, jom mari kita pergi meninjau,” katanya.

Sebaik tiba di sebuah kedai jualan, dia menemui sejumlah rekaan beg yang mirip dengan rekaan asli di Malaysia. Dia lalu menyoal si penjual adakah ia popular di kalangan pembeli dan kedengaran respon nama Malaysia disebut.

Kemudian, dia lanjut pergi ke kedai berikutnya yang mana kelihatan beg tiruan Christy Ng telah disusun dan dipamerkan dengan gah di tempat pameran untuk tatapan pengunjung.

Salah sebuah kedai malah menunjukkan sebahagian koleksi beg Christy Ng yang terlaris di sana.

Difahamkan permintaan pelanggan yang paling tinggi untuk beg tiruan berkenaan adalah dari dua buah negara iaitu Malaysia dan Indonesia.

Pelbagai koleksi merangkumi beg tangan, duffle bag, dompet, tote bag dan banyak lagi telah diciplak sewenang-wenangnya.

Apa yang mengejutkan bagi pihak Christy Ng bukan sekadar isu ciplak, tetapi hakikat bahawa permintaan terhadap produk tiruan tersebut sangat tinggi di Malaysia dan Indonesia, yang merupakan pasaran utama di mana produk original dijual.

Dalam pada itu, dia memberi amaran kepada sesiapa yang membeli barangan tiruan untuk tidak cuba mendapatkan ganti atau waranti jika berlaku sebarang kerosakan di kemudian hari kerana pasti kualiti jauh berbeza.

“Kenapa nak beli tiruan sedangkan tambah sikit dah dapat yang original,” soal Christy Ng buat sebahagian individu yang sanggup membeli barangan tiruan walhal harga yang asli tidak terlalu mahal.