Usahawan fesyen terkemuka, Christy Ng, bersama syarikatnya, Christy Ng Sdn Bhd, telah dianugerahkan ganti rugi am sebanyak RM180,000 oleh Mahkamah Tinggi berikutan penerbitan berunsur fitnah oleh pengendali akaun Threads “archnionverse”.
Mahkamah turut memerintahkan defendan, J. Vikneshvra Rau, untuk membayar faedah dan kos sebanyak RM10,000, selain menyiarkan permohonan maaf secara terbuka di tiga akhbar utama serta di akaun media sosial miliknya, petik New Straits Times.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ng dan syarikatnya, keputusan ini menyusuli penghakiman ingkar yang dicapai pada 13 Februari lalu berhubung fitnah, gangguan, dan gangguan secara tidak sah terhadap perniagaan mereka.
Mahkamah Tinggi, dalam membuat penilaian ganti rugi, telah mempertimbangkan keseriusan tuduhan fitnah tersebut, liputan penyebaran yang luas, reputasi plaintiff, serta kelakuan defendan sepanjang isu ini berlaku.
“Mahkamah mendapati tiada sebarang bukti provokasi atau salah laku di pihak kami yang boleh mengurangkan jumlah ganti rugi tersebut.
“Selain itu, mahkamah turut mengiktiraf reputasi dan kedudukan kukuh kami, termasuk profil awam Christy sebagai usahawan terkenal yang mempunyai lebih satu juta pengikut, pelbagai anugerah industri, serta peranan beliau sebagai pengasas syarikat yang beroperasi di peringkat serantau,” kata kenyataan itu.
Fitnah Cemarkan Integriti dan Kepercayaan Bisnes
Kenyataan itu menambah bahawa mahkamah mendapati tuduhan-tuduhan fitnah yang dilemparkan adalah serius dan meluas, merangkumi dakwaan tidak jujur, mengeksploitasi pekerja dan penggiat kreatif, hipokrit, menjalankan amalan perniagaan tidak beretika, serta bersikap menindas sebagai majikan.
“Mahkamah memutuskan bahawa tuduhan-tuduhan ini secara langsung menjejaskan integriti peribadi Christy Ng dan kebolehpercayaan komersial syarikat kami,” katanya.
Di samping itu, mahkamah turut mengambil kira tindakan defendan selepas penerbitan dibuat, termasuk penggunaan akaun tanpa nama (pseudonim), menggalakkan komen fitnah berterusan, mewujudkan akaun kedua untuk menafikan pemilikan akaun asal dan menggambarkan dirinya sebagai mangsa, serta tindakan mengumpul dana awam (crowdfunding) yang secara tidak langsung menerbitkan dan menguatkan lagi tuduhan fitnah berkenaan.
“Mahkamah menyifatkan kelakuan defendan sebagai sesuatu yang dirancang, berterusan, dan bertindak mahu mengenakan bahaya, menjana keuntungan, serta memanjangkan kemudaratan terhadap reputasi kami.
“Tindakan tersebut juga dianggap sebagai usaha mengaut keuntungan secara terancang serta menunjukkan sikap tidak menghiraukan hak kami, sekali gus wajar dikenakan ganti rugi teladan (exemplary damages) sebagai hukuman dan pengajaran agar perbuatan sedemikian tidak berulang.”
Niat Derma Ganti Rugi kepada Kebajikan
Secara berasingan, Ng menegaskan bahawa kes ini bukanlah bertujuan untuk mencari keuntungan wang ringgit, sebaliknya demi mempertahankan kebenaran, melindungi para pekerja, dan menjaga kepercayaan pelanggan serta rakan perniagaan.
“Sekiranya defendan menjelaskan sepenuhnya bayaran penghakiman tersebut, kami berhasrat untuk mendermakan kesemua ganti rugi yang diterima kepada badan kebajikan. Kami lebih rela melihat wang tersebut memberi impak positif kepada masyarakat daripada memberi keuntungan kepada kami secara peribadi.
“Saya berharap penghakiman ini menjadi peringatan penting bahawa walaupun setiap orang mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat, tiada sesiapa yang berhak menerbitkan dakwaan palsu dan berunsur fitnah tanpa menerima sebarang akibat,” tegas beliau.
Ng turut menambah bahawa beliau sentiasa terbuka menerima kritikan dan kebertanggungjawaban, namun tidak akan bertolak kompromi dengan perbuatan fitnah.
Dalam perbicaraan ini, Christy Ng dan syarikatnya diwakili oleh peguam Foong Cheng Leong dan Rachel Tan Yi Ling, manakala defendan tidak diwakili peguam.