Dalam tempoh 2024 hingga 2026, sebanyak empat operasi domestik dan serantau berjaya membongkar rangkaian jenayah seksual kanak-kanak yang dipercayai aktif bergerak di ruang digital.
Hasil keseluruhan operasi tersebut menyaksikan seramai 117 individu ditahan melibatkan 157 lokasi serbuan, selain rampasan lebih 246 peranti digital seperti telefon pintar, komputer dan storan elektronik.
Lebih membimbangkan, pihak berkuasa turut menemukan lebih 1,473,690 fail digital, termasuk bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM).

Angka itu secara tidak langsung menunjukkan betapa seriusnya ancaman eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian ketika ini.
Antara operasi terbesar yang dijalankan ialah Op Cyber Guardian, operasi rentas sempadan melibatkan kerjasama tujuh negara iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Brunei, Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun.
“Operasi ini dilaksanakan dalam tempoh yang dipersetujui bersama oleh semua negara iaitu bermula pada 23 Mac hingga 17 April lalu.
“Perlaksanaan serentak di Malaysia dari 6 hingga 8 April lalu mensasarkan 101 individu di seluruh 14 kontinjen negara,” jelas Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Dalam Op Cyber Guardian sahaja, seramai 69 individu berusia antara 15 hingga 66 tahun berjaya ditahan termasuk penjawat awam.
Selain itu, polis turut merampas 126 barang kes termasuk telefon pintar dan storan digital. Hasil pemeriksaan terhadap peranti terbabit menemukan sebanyak 498,690 fail digital, dengan 204,934 daripadanya dikenal pasti sebagai bahan penderaan seksual kanak-kanak.
Menurut PDRM, aktiviti ini tidak lagi dilihat sebagai jenayah individu semata-mata, sebaliknya dipercayai bergerak secara lebih tersusun dan bermotifkan keuntungan.
Malah, terdapat suspek yang dipercayai menawarkan akses kepada bahan terlarang melalui transaksi e-wallet dan kod QR dalam kumpulan tertentu di platform digital.
Di sebalik 117 tangkapan, berapa lagi yang masih bergerak bebas?
Apa yang membuatkan kes ini lebih menakutkan ialah jumlah tangkapan dan fail yang ditemui hanyalah daripada operasi yang berjaya dikesan pihak berkuasa.
Kalau dalam beberapa operasi sahaja sudah ada ratusan individu berada dalam radar siasatan dan lebih sejuta fail berbahaya berjaya dirampas, ramai mula tertanya-tanya sejauh mana sebenarnya skala jenayah ini berlaku dalam ruang digital.
Realitinya, kebanyakan aktiviti seperti ini bergerak secara senyap menerusi komuniti tertutup, aplikasi sembang sulit dan platform dalam talian yang sukar dipantau sepenuhnya.
Sebab itu juga, semakin ramai mula menyuarakan keperluan untuk melaksanakan pengesahan umur (age verification)serta kawalan lebih ketat terhadap akses media sosial dan platform digital bagi golongan bawah umur.
Bagi sesetengah pihak, langkah itu mungkin kedengaran terlalu ketat.
Namun melihat kepada jumlah tangkapan, fail eksploitasi seksual kanak-kanak yang ditemui dan skala operasi yang terbongkar, ramai berpendapat langkah pencegahan awal mungkin lebih penting sebelum keadaan menjadi lebih sukar dikawal.