Real Madrid dilaporkan telah mengadakan rundingan untuk membawa semula Jose Mourinho ke kelab tersebut, namun pengurus dari Portugal itu hanya akan kembali jika dua tuntutan utamanya dipenuhi.

Real Madrid sebelum ini berpisah dengan Xabi Alonso hanya beberapa bulan selepas melantiknya sebagai pengurus di Santiago Bernabeu.

Los Blancos kemudiannya menggantikan Alonso dengan seorang lagi bekas pemain iaitu Alvaro Arbeloa yang dinaikkan pangkat dari pasukan B kelab tersebut.

Namun, keadaan tidak berjalan seperti yang dirancang di bawah kendalian Arbeloa dengan Real Madrid semakin hampir akan menamatkan musim tanpa sebarang trofi utama untuk tahun kedua berturut-turut.

Barcelona boleh menjuarai La Liga jika mereka meraih kemenangan dalam aksi El Clasico pada Ahad ini di Spotify Camp Nou.

Sementara itu, keadaan di Real Madrid dilaporkan berada dalam tempoh yang huru-hara, dengan isu pergaduhan, ketegangan bilik persalinan serta kurangnya keyakinan terhadap pengurus pasukan.

Malah, terdapat laporan yang mendakwa Arbeloa telah diberikan gelaran sinis ‘cone’ oleh sebahagian anggota skuad.

Sehubungan dengan itu menurut sumber laporan Sport Bible, Florentino Perez berminat untuk membawa kembali Mourinho ke kelab tersebut dalam usaha menyelamatkan pasukan.

Permintaan Jose Mourinho Buat Real Madrid

Perez dilaporkan telah mengadakan sidang video bersama Mourinho, dengan ejen Jorge Mendes turut serta dalam panggilan tersebut.

Dalam perbualan itu, Mourinho meletakkan syaratnya termasuk kontrak minimum dua tahun serta kawalan penuh terhadap skuad dan bilik persalinan.

Beliau juga tidak akan menerima sebarang campur tangan daripada pemain dalam pemilihan kesebelasan utama dan kekal tegas dengan pendiriannya, yang digambarkan sebagai ‘tidak berkompromi langsung’.

Pengendali berusia 63 tahun itu juga mahu membawa barisan kejurulatihan sendiri, namun tidak menentang jika Alvaro Arbeloa kekal dalam struktur pasukan walaupun jurulatih kecergasan Antonio Pintus perlu meninggalkan kelab.

Selain itu, beliau mahu menangani isu dalam jabatan perubatan dengan akses terus kepada bahagian tersebut, susulan jumlah kecederaan yang membimbangkan dalam kalangan pemain Real Madrid.

Mourinho juga dikatakan hanya mahu berurusan dengan Perez secara terus tanpa perantara lain, sesuatu yang pernah menjadi isu ketika penggal pertamanya di kelab itu.

Dari segi persiapan pra-musim, beliau tidak mahu jelajah besar-besaran dan lebih cenderung kepada beberapa perlawanan persahabatan sahaja bagi melindungi pemain secara fizikal dan mental.

Syarat terakhir pula adalah semua tuntutan tersebut perlu diterima sebagai satu pakej penuh dan jika satu sahaja ditolak, perjanjian tersebut akan terbatal sepenuhnya.

Sumber