Ibu dan ayah yang mana sahaja yang tidak mahu memanjakan anak jika benar-benar berkemampuan namun sampai manakah hadnya?
Adakah semua perkara perlu dikompromi asalkan dapat memenuhi kehendak anak walaupun akan memakan diri di kemudian hari kelak?
Terbaharu, tular di media sosial satu luahan yang menyentuh hati ramai apabila seorang gerangan ibu yang sudah dimamah usia mengakui kesilapan terlalu memanjakan anak sehingga tidak mempunyai skil kemahiran hidup di dunia sebenar dan menjadi beban.
Benih Kesilapan dari Zaman Kanak-Kanak
Segalanya bermula dengan niat yang suci. Semasa anaknya masih kecil, si ibu tidak pernah membenarkan anaknya melakukan apa-apa kerja sendiri.
Daripada mengikat tali kasut hinggalah menyiapkan kerja sekolah semata-mata kerana tidak mahu anaknya berasa tertekan, semuanya diuruskan oleh ibu. Malah, jika wujud sebarang konflik di sekolah, ibulah yang akan berjumpa dengan guru untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Pada waktu itu, si ibu memujuk dirinya dengan satu sangkaan: “Nanti bila dewasa dia akan belajar menghadapi kesusahan.”. Sayangnya, saat yang diharapkan itu tidak pernah tiba.
Zon Selesa yang Melumpuhkan
Apabila usia anak menginjak dewasa, zon selesa yang dibina ibunya menjadi semakin kebal. Pada usia 18 tahun, apabila anak itu buntu tentang arah tujunya, si ibu memberikannya masa setahun untuk berfikir, namun ia meleret hingga menjadi tiga tahun.
Anak itu tidak pernah didesak untuk bekerja atau keluar dari kepompong keselesaannya kerana segala keperluan kewangan sentiasa dipenuhi oleh ibunya.
Apabila orang lain mengkritik, ibunya mempertahankan dengan alasan, “Setiap orang ada rentaknya sendiri.”. Hakikatnya, anak itu tidak mempunyai rentak langsung kerana dia tidak pernah berasa “perlu” untuk berusaha.
Setiap kali anaknya mencuba sesuatu yang baharu, ia berakhir dengan kegagalan yang diraikan. Pada usia 25 tahun, anaknya mengikuti kursus teknikal namun bertahan hanya empat bulan kerana menganggapnya terlalu sukar.
Ibulah yang mengeluarkan dia dari kursus itu dan meyakinkannya bahawa akan ada peluang yang lebih baik. Pada usia 30 tahun pula, anaknya bekerja dengan ibu saudara namun berhenti selepas dua minggu kerana asyik merungut.
Apa reaksi si ibu? Dia menyambut kepulangan anaknya ke rumah seolah-olah menyambut perwira pulang dari medan perang, siap memasakkan makanan kegemarannya.
Realiti Pahit: Dewasa yang Terperangkap dalam Tubuh Kanak-Kanak
Kini pada usia 33 tahun, kehidupan anak lelakinya ibarat terhenti di dalam masa. Dia masih tidur di bilik, katil, dan almari yang sama sejak kecil.
Rutin hariannya sangat kosong: tidur sehingga waktu subuh, bangun pada waktu tengah hari, makan, dan menghadap skrin televisyen atau komputer berulang-ulang kali.
Jika sarapan tidak dihidangkan, dia tidak makan, jika pakaiannya tidak dibasuh maka ia dibiarkan bertimbun. Lebih menyedihkan, apabila ibunya menyuruh membuang sampah, jawapannya hanya “nanti,” dan dia akan melenting apabila ditanya soal kerja kerana menganggap ibunya memberi tekanan.
Kemuncak keperitan ini dirasai dua bulan lalu apabila si ibu jatuh sakit teruk dan terlantar di katil selama tiga hari. Sangkaannya, keadaan itu akan mengubah anaknya, namun sebaliknya berlaku.
Pada hari pertama, anaknya memesan makanan dari luar, hari kedua dia membiarkan pinggan kotor bersepah, dan menjelang hari ketiga, dia bertanya bila ibunya akan bangun hanya kerana dia sudah kehabisan pakaian bersih.
Walaupun ibu itu mengadu badannya sudah tidak sekuat dahulu dan cepat letih, respons anaknya amat mengecewakan: *”Kita upah orang untuk tolong mak.”*.
Pedoman untuk Ibu Bapa: Sayang Anak, Biar Berpada-pada
Pada hari ibu itu sakit, dia menyedari satu kebenaran yang menghancurkan hatinya: anaknya sama sekali tidak tahu bagaimana untuk meneruskan hidup tanpa seseorang menjaganya.
Walaupun adik-beradiknya menasihatkan agar anak itu dihalau keluar dari rumah kerana dia sudah dewasa, si ibu tidak mampu melakukannya. Apabila melihat anaknya tidur memeluk bantal, dia masih membayangkan budak kecil berusia lima tahun.
Pengakuan jujur ibu ini wajar dijadikan peringatan keras buat kita semua: “Kadang kadang, kasih sayang tanpa batas… bukan melindungi. Ia memusnahkan… secara perlahan.”.
Sebagai ibu bapa, tugas hakiki kita bukanlah melindungi anak-anak daripada dunia, tetapi mempersiapkan mereka untuk menghadapi dunia.
Biarkan mereka merasai kesusahan, biarkan mereka menangis kerana kegagalan, dan biarkan mereka memikul tanggungjawab seawal usia. Kerana cinta yang sejati adalah cinta yang mendidik mereka untuk mampu berdiri sendiri, walau di saat kita sudah tiada lagi di sisi mereka kelak.