Penantian panjang para ibu warganegara Malaysia yang melahirkan anak di luar negara akhirnya menemui titik noktah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, mengesahkan bahawa pemberian kewarganegaraan secara automatik bagi golongan ini dijangka akan dilaksanakan sepenuhnya bermula 1 Jun 2026 lapor Harian Metro.

Langkah bersejarah ini merupakan hasil daripada pindaan Perlembagaan Persekutuan yang kini berada di peringkat akhir.

Menurut Saifuddin, pihak kementerian sedang memuktamadkan pindaan kaedah-kaedah kewarganegaraan, termasuk menyediakan sistem pra-pendaftaran dalam talian bagi memudahkan urusan ibu bapa di masa hadapan.

Proses ini kini hanya menunggu perkenan daripada Yang Di-Pertuan Agong sebelum dikuatkuasakan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

Bukan itu sahaja, KDN turut menunjukkan prestasi cemerlang dalam menguruskan isu kewarganegaraan.

Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, mereka berjaya menyelesaikan sebanyak 52,444 kes merupakan satu angka yang hampir menyamai rekod lapan tahun pentadbiran sebelum ini. Malah, setakat hujung tahun lalu, hanya berbaki 3,738 permohonan tertunggak yang sedang diproses.

Apa yang lebih menarik, KDN kini menetapkan komitmen baharu yang lebih efisien.

Jika sebelum ini pemohon terpaksa menunggu sehingga berpuluh tahun untuk mengetahui status mereka, kini KDN berjanji untuk memberi maklum balas dan keputusan bagi setiap permohonan dalam tempoh satu tahun sahaja.

Langkah ini pastinya memberi sinar baharu dan jaminan masa depan yang lebih jelas buat anak-anak kepada ibu warganegara Malaysia di seluruh dunia.