Jenama kenderaan mewah berprestasi tinggi Jerman, BRABUS, telah memperkenalkan BRABUS BODO, sebuah supercar Gran Turismo coupe 2+2 tempat duduk yang dibina khas secara coachbuilt.

Kereta mewah ini dicipta sebagai penghormatan kepada pengasas syarikat, Bodo Buschmann.

Menurut CEO BRABUS, Constantin Buschmann, projek ini direalisasikan bagi menghidupkan impian bapanya yang telah lama terpendam serta satu penghormatan atas legasi beliau.

'Ini Impian Ayah' – Si Anak Realisasikan BRABUS BODO
Sumber Gambar: Instagram @constantin_brabus

“Hampir lima puluh tahun yang lalu, ayah saya telah memutuskan untuk memulakan perniagaan beliau sendiri. Semangat dan minat mendalam beliaulah yang telah membina BRABUS.

“Walau bagaimanapun, terdapat sebuah kenderaan yang sering diperkatakan oleh beliau, namun akhirnya tidak sempat untuk direalisasikan. Ia merupakan sebuah impian yang telah lama dipendamnya.

“Hari ini, kami memberikan penghormatan terhadap legasi beliau dengan akhirnya merealisasikan impian tersebut. Dan, sudah semestinya, ia hanya akan membawa satu nama: BODO.”

Spesifikasi BRABUS BODO
'Ini Impian Ayah' – Si Anak Realisasikan BRABUS BODO
Sumber Gambar: BRABUS

Nadi utama di sebalik kelajuan BRABUS BODO ialah enjin V12 biturbo 5.2 liter.

Enjin berkuasa tinggi ini mampu menjana 1,000hp dan daya kilas maksimum mencecah 1,200 Nm tork.

BRABUS BODO boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa hanya 3.0 saat, dan boleh mencapai kelajuan 300km/j dalam masa 23.9 saat. Kelajuan tertingginya pula dihadkan secara elektronik pada 360km/j.

Reka Bentuk Luaran
'Ini Impian Ayah' – Si Anak Realisasikan BRABUS BODO
Sumber Gambar: BRABUS

Reka bentuk kereta ini berjaya menggabungkan estetika dengan kecekapan aerodinamik pada tahap yang tinggi.

Badannya dihasilkan sepenuhnya daripada gentian karbon berkekuatan tinggi.

'Ini Impian Ayah' – Si Anak Realisasikan BRABUS BODO
Sumber Gambar: BRABUS

Untuk memastikan kestabilan pada kelajuan tinggi, jentera ini dilengkapi dengan sistem aerodinamik aktif yang menampilkan sebuah spoiler belakang dua tahap.

Spoiler ini boleh dibuka secara elektrik dan turut berfungsi sebagai brek udara ketika kenderaan ditekan brek secara mengejut pada kelajuan melebihi 140 km/j.

Reka Bentuk Dalaman
'Ini Impian Ayah' – Si Anak Realisasikan BRABUS BODO
Sumber Gambar: BRABUS

Ruang dalaman pula membawakan sentuhan kokpit BRABUS Masterpiece dengan kemewahan kulit hitam, jahitan corak BRABUS ‘Shell’, kemasan gentian karbon, dan ukiran lencana ‘Double-B’ pada tempat duduk.

Sebagai pelengkap eksklusif, setiap pemilik akan menerima sebuah beg kulit BRABUS ‘Weekender’ dan Pasport Produk Digital berasaskan teknologi blockchain yang mendokumentasikan pengesahan ketulenan dan spesifikasi kenderaan tersebut secara telus.

Harga Rasmi BRABUS BODO

Sebagai memperingati tahun penubuhan BRABUS pada 1977, pengeluaran model ini dihadkan kepada 77 unit sahaja di seluruh dunia dengan harga asas bermula 1,000,000 euro (RM4.9 juta).

Sementara jumlah pengeluaran tahunan dalam lingkungan antara 10 hingga 15 buah sahaja.