Sekarang kedai kopi bukan lagi sekadar tempat lepak atau buat kerja. Bagi ramai anak muda kreatif di Malaysia, ia dah jadi ruang untuk idea berkembang, cari inspirasi dan bina komuniti.
Atas semangat itu, program Kopi Creator Kolektif (KCK) tampil sebagai platform yang meraikan bakat tempatan dalam dunia muzik dan perfileman.
Diperkenalkan oleh Starbucks Malaysia sempena Hari Kreativiti dan Inovasi Sedunia, KCK Class of 2026 menghimpunkan 10 bakat baharu tempatan terdiri daripada lima pemuzik dan lima pembikin filem untuk mengikuti program pembangunan kreatif bersama mentor industri.
Menariknya, inisiatif ini bukan sekadar pertandingan biasa. Sebaliknya, ia membuka peluang kepada kreator muda untuk belajar, bereksperimen dan mengembangkan karya mereka dalam suasana komuniti yang lebih dekat dengan generasi sekarang.
Platform yang bantu bakat lokal berkembang
Melalui program ini, para finalis diberi akses kepada sesi masterclass, mentorship dan pembangunan idea bersama pemain industri kreatif tempatan.
Bagi kategori muzik, kolektif kreatif Breaking Music membimbing peserta dalam aspek identiti artistik, penulisan lagu asli dan persediaan persembahan secara langsung.
Mereka juga mendapat akses kepada studio rakaman serta peralatan profesional untuk mengembangkan karya masing masing.
Untuk kategori filem pula, Weekend Boys bersama Fakulti Seni Sinematik Multimedia University (MMU) membantu peserta memperkukuhkan aspek penceritaan dan produksi daripada idea awal sehingga ke layar.
Menurut pengarah dan mentor kategori filem, Adam Zainal, platform seperti ini penting untuk membuka ruang kepada suara baharu dalam industri kreatif Malaysia.
“A thriving creative culture relies on having room for new voices to emerge, experiment, and grow,” katanya.
Kenali barisan kreator KCK Class of 2026
Antara pemuzik yang terpilih termasuk projek indie folk Akardia, penyanyi R&B Suehaila dan band alt rock dari Subang Jaya, Sharkfins.
Turut terlibat ialah Thariq Amran dan penerbit muzik Huey Yeing.
Dalam kategori filem pula, finalis yang dipilih terdiri daripada C317, Clayvert Unji bersama TanahLiat Studios, Mia Sara Shauki bersama Batu Belah Productions, Mohamad Najmi Firdaus menerusi Keladak Krunchy serta SudhiFilem.
Setiap finalis tampil dengan gaya penceritaan dan identiti kreatif tersendiri daripada kisah tentang komuniti, persahabatan dan rasa kekitaan sehinggalah eksplorasi visual yang lebih eksperimental dan segar.

Dari kedai kopi ke pentas kreatif
View this post on Instagram
Kemuncak program KCK Class of 2026 turut diraikan menerusi KCK Showcase yang berlangsung dalam suasana santai tetapi penuh energi kreatif.
Showcase tersebut menampilkan persembahan secara langsung daripada para finalis muzik selain tayangan karya pendek daripada peserta kategori filem, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai melihat sendiri hasil idea dan bakat generasi kreatif baharu tempatan.
Pada acara itu, TanahLiat Studios diumumkan sebagai pemenang kategori filem manakala Suehaila berjaya membawa pulang kemenangan bagi kategori muzik.


Pemenang muzik menerima peluang rakaman EP empat lagu, manakala pemenang kategori filem bakal merealisasikan produksi filem pendek asli mereka sendiri dengan setiap hadiah bernilai RM10,000.
Bukan sekadar kempen, tapi ruang komuniti kreatif

Kopi Creator Kolektif mula diperkenalkan pada penghujung 2025 menerusi sesi muzik intim yang menampilkan bakat tempatan seperti Amanda Imani, An Honest Mistake dan RESORT.
Kini, platform itu berkembang dengan penglibatan pembikin filem pula sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk anak seni tempatan mengetengahkan karya mereka kepada khalayak lebih luas.
Dengan sokongan komuniti, mentor industri dan ruang untuk berkarya, KCK memperlihatkan bagaimana kreativiti lokal boleh terus berkembang apabila diberi peluang yang betul.